PEMAIN dan jurulatih Wolverhampton meraikan kemenangan mereka. -Foto Reuters

WOLVERHAMPTON, England: Wolverhampton Wanderers mengesahkan gelaran Liga Kejuaraan dengan membelasah Bolton Wanderers yang diancam penyingkiran 4-0 di Molineux.

Wolves memenangi liga divisyen dua itu buat kali kedua dalam tempoh 10 tahun, manakala Sunderland pula berduka selepas tersingkir dua musim berturut-turut.

Cardiff City semakin menghampiri Liga Perdana Inggeris apabila menang 2-1 ke atas Nottingham Forest untuk melonjak ke tangga kedua, satu mata di hadapan Fulham.

Perebutan untuk slot playoff menyaksikan tujuh pasukan masih berpeluang mengikut jejak Wolverhampton, antaranya Aston Villa yang menewaskan Ipswich Town 4-0 dan Middlesbrough yang mengatasi Derby County 2-1.

Peluang Bristol City tertutup apabila seri 5-5 menentang Hull City, perlawanan yang menyaksikan dua kali mereka mendahului dengan kelebihan dua gol tetapi memerlukan jaringan dalam masa kecederaan untuk mengutip satu mata.

Brentford berada di kedudukan selesa untuk mengisi slot terakhir playoff selepas menewaskan Queens Park Rangers 2-1.

Dalam kelompok bawah, Sunderland tersingkir selepas Liam Boyce memberikan Burton Albion kemenangan 2-1, sementara Birmingham City bangkit meraih kemenangan 2-1 ke atas Sheffield United. - REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 5:30 PM