NAZIFUDDIN jadi sebutan bertanding rebut jawatan Timbalan Presiden MOM. -Foto SUPIAN AHMAD
Aida Adilah Mat
aida_adilah@nstp.com.my


PEREBUTAN jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kembali hangat dan bakal membabitkan pertarungan tiga penjuru meskipun Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memutuskan tidak bertanding. 

Ini selepas Naib Presiden MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib kini menjadi sebutan untuk merebut jawatan nombor dua itu pada pemilihan yang dijadualkan 5 Mei ini.

Nazifuddin yang ditemui semalam, bagaimanapun masih belum membuat sebarang keputusan kerana difahamkan beliau turut dicalonkan bertanding jawatan setiausaha agung yang disandang Datuk Low Beng Choo.

“Saya diberitahu pencalonan (timbalan presiden) itu datang dari dua persatuan sukan dan salah satu daripadanya taekwondo.

“Namun, saya belum membuat sebarang pilihan dan keputusan hanya akan dibuat selepas tamatnya tarikh tutup pencalonan pada 24 April ini,” katanya.

Bagaimanapun, Nazifuddin menegaskan beliau tidak mahu persaingan sengit berlaku untuk mana-mana posisi dalam MOM kerana badan induk yang memayungi persatuan sukan di negara ini perlu bekerjasama sebagai satu keluarga.

“Selepas pencalonan kita akan tengok bagaimana kita boleh buat satu pasukan yang betul-betul boleh menerajui MOM untuk penggal akan datang.

“Ini kerana MOM perlu bersama dengan ahli gabungan untuk membangunkan sukan negara di mana MOM perlu membantu persatuan yang tidak kuat dari segi kewangan dan pentadbiran,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden MOM yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden.

Beliau dijangka dicabar Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 1:55 PM