MEGAT ZULKARNAIN OMARDIN
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) tetap memandang serius semua pencabar yang akan ditemui di Sukan Asia Indonesia, Ogos nanti.

Walaupun mengakui negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam bakal menjadi pencabar utama, atlet negara Asia lain tetap tidak boleh dipandang ringan.

Hakikat itu diakui Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang tidak memandang mudah cabaran lawan yang bertanding dalam acara yang pertama kali dipertandingkan di peringkat Sukan Asia itu.

“Apabila melihat persediaan negara seperti Iran, Uzbekistan dan Korea Selatan yang melakukan persiapan rapi, saya agak risau.

“Sebab itu selepas pesilat pulang daripada Terbuka Belgium, kita akan mengadakan latihan ke Kyrgyzstan disusuli Vietnam dan Filipina sebelum ke Indonesia.

“Kita risau sekiranya tumpuan terlalu diberikan kepada pesaing di rantau Asia Tenggara, kita terlepas pandang negara lain yang pesat membangunkan sukan ini. Mereka juga melakukan persiapan yang serius," jelasnya.

Pencak silat pertama kali dipertandingkan di pentas Sukan Asia dengan Malaysia mengharapkan mampu meraih emas kerana mempunyai beberapa juara dunia seperti Mohd Al-Jufferi Jamari.

Skuad negara bakal menghadapi kejohanan terakhir di Terbuka Belgium yang dijadualkan berlangsung hujung bulan nanti sebelum menghadapi Sukan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 7:19 PM