ELLY (kiri) bersama rakan setugas.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


Nama Elly Idzlianizar Ilias bukan asing dalam arena sukan permotoran tempatan. Sebelum adanya nama seperti Adam Norrodin, Khairul Idham Pawi dan Hafizh Syahrin Abdullah yang kini beraksi di saingan MotoGP, Elly antara produk paling berbakat pernah dilahirkan menerusi kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Jika anda masih ingat, dia antara senarai dua pelumba terakhir daripada kalangan 16 pelumba yang terpilih untuk beraksi menerusi tiket wild card dalam kategori 125cc pada 2009.

Seorang lagi adalah Zulfahmi Khairuddin yang kini masih beraksi dalam saingan Moto2. Hampir 10 tahun berlalu, sebagaimana pantasnya Elly di atas litar, begitulah ‘pantasnya’ celoteh mulutnya kini apabila mengambil cabaran sebagai pengacara pula.

Kini Elly menjadi hos untuk TVTW, sebuah siaran secara dalam talian khusus untuk saingan Cub Prix. Menceritakan bagaimana boleh terbabit dengan dunia pengacaraan, Elly berkata, segala-galanya kerana minat dalam sukan permotoran.


AKSI Elly (kanan) mengulas kejuaraan Cub Prix bersama rakan setugas.

“Pada mulanya saya hanya ingin mencuba saja. Ia bermula pada awal tahun lalu. Selepas itu saya mula rasa seronok pula dan mengambil keputusan untuk cuba mendalami bidang pengacaraan pula.

“Untuk tahun ini, saya ambil keputusan untuk memberi komitmen sepenuhnya dalam bidang pengacaraan dengan terbabit di semua pusingan Cub Prix,” katanya yang beraksi kali terakhir disaingan Cub Prix tahun lalu.

Jelas Elly, sememangnya agak sukar untuk menyesuaikan diri sebagai pengacara berbanding ketika berlumba di atas litar.

“Saya banyak belajar sendiri dengan melihat Youtube bagaimana cara pengacara berpengalaman mengendalikan satu-satu program. Selain itu, saya juga banyak menimba ilmu dengan rakan-rakan di RTM ketika dijemput untuk menjadi pengulas” katanya.

Elly tidak menolak untuk lebih serius terbabit dalam bidang pengacaraan selepas ini.

“Jika ada peluang lebih baik, sudah pasti saya mahu lebih serius dalam bidang ini. Apapun banyak yang perlu saya pelajari, lagi,” katanya.


AKSI Elly (kiri) sewaktu menyertai Cub Prix 10 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 2:48 AM