SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Owee Ah Chun
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin akhirnya mengesahkan beliau tidak akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), 5 Mei ini.

Ia disahkan Hamidin menerusi kenyataan di Facebook rasmi FAM hari ini dan menjelaskan keputusan itu dibuat kerana ingin memberi fokus sepenuhnya kepada badan induk bola sepak negara itu.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan mendapatkan nasihat daripada bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, saya dengan ini secara rasmi membuat keputusan untuk tidak bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden MOM.

“Biarpun terdapat spekulasi media sebelum ini bahawa ada beberapa persatuan sukan mahu mencalonkan saya bagi jawatan berkenaan, saya ingin menyatakan buat masa ini, saya memang tidak berminat untuk memegang apa-apa jawatan dalam MOM.

“Keputusan ini dibuat kerana saya ingin memberi tumpuan dan fokus sepenuhnya terhadap bola sepak negara khususnya FAM sekiranya saya dinobatkan sebagai Presiden FAM yang baharu bagi penggal 2018-2021 pada kongres yang dijadual berlangsung pada 14 Julai ini,” kata Hamidin.

Hamidin sebelum ini dicalonkan sebagai Presiden FAM bagi menggantikan Tunku Ismail yang sah meninggalkan badan induk berkenaan pada 2 April lalu dan pada masa yang sama turut dikaitkan dengan jawatan Timbalan Presiden MOM.

Malah, pelbagai pihak termasuk pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Penolong Setiausaha MOM, Datuk Sieh Kok Chi berpendapat seeloknya Hamidin melupakan hasrat untuk mencabar jawatan tertinggi dalam badan yang memayungi persatuan sukan kebangsaan itu.

Ia bagi memberi ruang sepenuhnya buat Hamidin untuk memberi fokus kepada FAM dan pembangunan bola sepak negara sekiranya terpilih sebagai Presiden FAM.

Selain itu, Hamidin juga kini sudah hampir pasti menerajui badan induk bola sepak negara selepas 18 daripada 20 ahli gabungan FAM dilaporkan mencalonkan nama beliau untuk mengisi kerusi panas itu.

Keputusan Hamidin untuk tidak bertanding jawatan itu menyaksikan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Setiausaha Agung Persekutuan Kebangsaan Silat Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin sebagai calon untuk merebut jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 10:01 PM