PEMAIN Wolverhampton Wanderers meraikan kejayaan kembali ke Liga Perdana selepas menewaskan Birmingham City. -Foto Reuters
AFP

PENDAHULU Liga Kejuaraan Wolverhampton Wanderers meraikan kejayaan kembali ke Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 ke atas Birmingham City.

Skuad kendalian Nuno Espirito Santo mengesahkan tempat ke liga tertinggi itu 24 jam sebelumnya selepas pesaing untuk slot berkenaan, Fulham diikat oleh Brentford.

Diogo Jota membuka jaringan di Molineux pada minit ke-21 untuk melebarkan jaringannya kepada 17 gol musim ini.

Birmingham terpaksa bermain dengan 10 orang apabila Harlee Dean dibuang padang pada minit ke-52 kerana mengasari Helder Costa.

Pemain gantian Wolves, Benik Afobe mengesahkan kemenangan tiga minit sebelum tamat permainan.

Wolves, kembali ke Liga Perdana selepas enam tahun menghilang, hanya memerlukan satu mata lagi untuk memastikan promosi ke liga utama Inggeris itu.

Jumlah perbezaan gol yang tinggi berbanding Cardiff City di tangga kedua meletakkan Wolves di kedudukan selesa untuk mengesahkan kenaikan berkenaan.

“Ini adalah saat istimewa, pertama sekali buat peminat-peminat. Ia adalah sebab kami berusaha, untuk peminat kami,” kata Nuno.

Sementara itu Birmingham di ambang tersingkir ke divisyen tiga apabila hanya dua mata di atas garis penyingkiran selepas mengutip satu mata daripada tiga perlawanan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 11:23 PM