AKSI Vincent Kompany (kiri) mengasak Harry Kane di Stadium Wembley, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
AFP

LONDON: Manchester City selangkah menghampiri gelaran kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas bangkit daripada minggu yang mengecewakan untuk membenam Tottenham Hotspur 3-1 di Wembley, sebentar tadi.

Kekalahan buat Spurs menghadiahkan Chelsea peluang untuk bersaing merebut tempat ke Liga Juara-Juara selepas kelab kendalian Antonio Conte itu bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menewaskan Southampton 3-2.


PEP GUARDIOLA

Liverpool dalam pada itu mengukuhkan kedudukan di tangga empat terbaik ketika Mohamed Salah meledak gol ke-40 musim ini susulan kemenangan 3-0 ke atas Bournemouth.

City melepaskan peluang untuk mengesahkan kejuaraan apabila tewas 2-3 kepada seteru tetangga Manchester United, minggu lalu sebelum tersingkir di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 1-5 kepada Liverpool.

Begitupun, skuad kendalian Pep Guardiola kembali menunjukkan mengapa mereka boleh dibandingkan dengan pasukan-pasukan terbaik di EPL dengan menghadiahkan Spurs kekalahan pertama liga sejak kali terakhir kedua-duanya bertemu pada Etihad, Disember lalu.

“Saya berkata selepas 10 ke 15 minit kami akan menjadi juara,” kata Guardiola.

“Selepas apa yang berlaku dan bagaimana reaksi orang ramai, mereka ini cukup menakjubkan. Mereka menakjubkan.

“Apa yang mereka harungi pada minggu lalu sungguh tidak adil tetapi mereka layak (memenangi liga) dan kini kami memperoleh mata terakhir.”

“Kami mendapat peluang yang pertama menentang United, dan kami tidak berjaya melakukannya dan kini kami mempunyai satu lagi peluang menentang Swansea di depan 60,000 peminat dan kami akan cuba untuk cuba menjadi juara.”

City akan menanti kunjungan Swansea, Ahad depan tetapi mereka boleh mengesahkan kejuaraan lebih awal jika United tewas di laman sendiri bertemu kelab di tangga tercorot, West Brom.

Gabriel Jesus membuka tirai jaringan buat City pada minit ke-22 sebelum Ilkay Gundogan menggandakan kelebihan buat pelawat menerusi penalti, tiga minit kemudian selepas penjaga gol Spurs, Hugo Lloris mengasari Raheem Sterling.

Penalti itu sedikit kontroversi selepas rakaman video menunjukkan terjahan itu berlaku di luar kotak penalti.

Seperti kekalahan kepada United minggu lalu apabila mereka mendahului 2-0, gawang City akhirnya bocor menerusi jaringan Christian Eriksen pada minit ke-42.

Begitupun, kegagalan minggu lalu jelas ingin dielak City apabila menjaringkan gol ketiga menerusi Sterling.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 7:57 AM