AZNIL menunjukkan pingat emas yang dimenangi di Sukan Komanwel Gold Coast sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. -Foto BERNAMA
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my

PEMENANG pingat emas Sukan Komanwel 2018 acara angkat berat Aznil Bidin bakal menerima imbuhan RM10, 000 daripada Majlis Sukan Negeri Kedah (MSN Kedah) sebagai penghargaan di atas kejayaannya.

Imbuhan itu diumumkan Pengarah MSN Kedah Mohd Rizal Mohd Radzi pada majlis sambutan wira negara itu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar malam tadi.

Rizal berkata imbuhan itu bagi menghargai pencapaiani Aznil yang memperoleh pingat emas dalam kategori 62kg di temasya yang berlangsung di Gold Coast, Australia.

“Pihak MSN Kedah, kerajaan negeri dan rakyat Kedah berasa cukup bangga di atas kejayaan Aznil yang muncul sebagai atlet pertama kelahiran Kedah merangkul pingat emas pertama temasya Sukan Komanwel,” kata Rizal.

“Kita juga akan menganjurkan satu majlis khas bulan depan bagi meraikan semua atlet dari negeri Kedah yang telah mewakili negara ke Sukan Komanwel 2018.

“Saya amat berharap Aznil akan menjadi ikon atau idola kepada atlet dan warga Kedah untuk mewujudkan ramai lagi ‘badang’ dari negeri ini.

“Selain Aznil, kesemua lapan atlet dari Kedah dalam acara skuash, ping pong, hoki akan diraikan pada majlis penghargaan itu nanti,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Aznil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya pihak MSN Kedah, Kerajaan Negeri Kedah, Persatuan Angkat Berat Negeri Kedah serta keluarga dan atlet negeri itu yang banyak menyokongnya selama ini.

“Saya berterima kasih di atas insentif yang diumumkan ini dan saya bersyukur dapat bawa balik pingat emas untuk negara kerana inilah impian saya dan keluarga selama ini.

“Sasaran saya selepas ini adalah untuk meraih kejayaan pada temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia dan Kejohanan Dunia 2018,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 12:36 AM