PEMAIN Aston Villa, Jack Grealish (kanan) diasak pemain Ledds United, Ronaldo Vieira di Villa Park. - Foto CARL RECINE
AFP

LONDON: Aston Villa kini hanya dibezakan dua mata untuk meraih tempat secara automatik ke Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan kemenangan 1-0 ke atas Leeds United dalam aksi Liga Kejuaraan, semalam.

Tandukan pada babak pertama Lewis Grabban jelas sudah cukup baik buat kelab dari Birmingham itu untuk memperoleh kemenangan di Villa Park ketika Leeds dipalit kekalahan ke-10 pada 2018.

“Kami menyelesaikannya,” kata Grabban kepada Sky Sports.

Rakan sepasukannya, Robert Snodgrass menambah: “Di tahap ini pada musim ini, ia adalah tiga mata.”

Villa yang juga juara Piala Eropah pada 1982 begitupun sudah bermain lebih satu perlawanan berbanding pasukan tangga kedua, Fulham ketika Cardiff City yang ketinggalan satu mata di bawah kelab kendalian Steve Bruce itu kurang dua perlawanan.

Hanya dua pasukan teratas di Liga Kejuaraan mengesahkan tempat ke EPL secara automatik dengan pendahulu, Wolverhampton Wanderers hanya memerlukan dua mata untuk mengesahkan kepulangan mereka.

Wolves boleh meraihnya jika mereka menewaskan seteru Midlands, Birmingham City, esok.

Begitupun jika keputusan lain turut memihak kepada mereka, Wolves boleh mengesahkan kepulangan mereka tanpa menyepak bola.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 7:50 AM