PEP GUARDIOLA
AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola tidak menolak kemungkinan Manchester City boleh berdepan situasi terlepas peluang untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Sudah tentu ia boleh berlaku. Saya boleh beri jaminan kepada anda," kata pengurus City itu.

Guardiola mengakui beliau bimbang psikologi barisan pemainnya terjejas berikutan tiga kekalahan berturut-turut yang diperoleh dalam tempoh seminggu sekali gus menggugat usaha mereka untuk memenangi kejuaraan liga.

City selesa dengan kelebihan 13 mata di tangga teratas liga dengan berbaki enam perlawanan dan mampu mengesahkan kejuaraan liga minggu ini.

Mereka bakal berdepan Tottenham di Wembley, awal pagi ini dan jika menang ditambah Manchester United yang menduduki tempat kedua tewas kepada kelab bawahan West Bromwich Albion, mereka boleh mengesahkan kejuaraan.

Sambil memberi contoh seperti Real Madrid yang gagal untuk memenangi kejuaraan liga musim 2003/04 serta kegagalan Golden State Warriors memenangi final NBA 2016, Guardiola situasi itu tidak mustahil.

"Real Madrid satu ketika dulu tewas lima perlawanan berturut-turut dan akhirnya gagal memenangi liga. Jadi ia tidak mustahil boleh berlaku.

"Setiap pemain menyedarinya kerana ini adalah bola sepak.

"Begitu juga dalam bola keranjang apabila dua tahun lalu Cavaliers bangkit menewaskan Golden State Warriors 4-3," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 7:35 AM