CRISTIANO RONALDO

BERLIN, Jerman: Jurulatih Bayern Munich, Jupp Heynckes mengakui dia bimbang dengan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, selepas pasukannya diundi berdepan juara bertahan itu pada separuh akhir Liga Juara-Juara, hari ini.

Tahun lalu, Ronaldo menjaringkan hatrik pada perlawanan kedua ketika Real mengetepikan Bayern pada suku akhir selepas tambahan masa.

“Saya harap Ronaldo tidak melalui hari yang baik,” kata pengendali berusia 72 tahun itu yang melatih Madrid muncul juara Liga Juara-Juara pada 1998.

Real mencari rekod kejuaraan Eropah ke-13 dan ketiga berturut-turut manakala juara tiga kali, Bayern adalah kelab terakhir menang tiga gelaran berturut-turut 42 tahun lalu.

Heynckes berkata, tradisi lebih penting berbanding kuasa membeli merujuk kepada Paris Saint-Germain dan Manchester City yang tersingkir lebih awal.

“Lihat saja Paris atau Manchester City,” katanya. “Anda tidak boleh beli Liga Juara-Juara pada ketika ini. Anda perlu masa dan kesabaran untuk meningkat. Pemain perlu mengenali antara satu sama lain dan menghormati sesama sendiri.”

Kedua-dua pasukan itu tidak pernah bertemu di final tetapi ini adalah kali ke-12 mereka bertemu pada saingan kalah mati dan separuh akhir ketujuh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 12:29 AM