PEMAIN Juventus sedia berjuang semula bagi mengharungi saingan liga pada Ahad ini. - Foto EPA-EFE

MILAN: Massimiliano Allegri memberi amaran Juventus akan berusaha meraih kejuaraan Serie A buat kali ketujuh berturut-turut selepas tersingkir sekali lagi pada saingan Liga Juara-Juara. 

"Kami akan bangkit semula dengan semangat juang lebih tinggi," kata jurulatih Juventus itu selepas menyaksikan anak buahnya tewas 3-4 secara agregat kepada Real Madrid dalam saingan suku akhir Liga Juara-Juara meskipun mencatat kemenangan 3-1 pada aksi timbal balik. 

"Tiada apa yang perlu dikesali. Kami kecewa tetapi kami perlu bangkit semula kerana perlu mengharungi saingan liga lagi pada Ahad. 

"Kami perlu meraih kejuaraan liga buat kali ketujuh dan keempat berturut-turut untuk Piala Itali," katanya. 

Juara Itali itu kembali ke Turin dari Sepanyol selepas mengharungi mimpi ngeri apabila pengadil, Michael Oliver melayangkan kad merah kepada kapten, Gianluigi Buffon berikutan penjaga gol itu berang dengan tindakan Oliver memberikan penalti kepada tuan rumah pada lewat perlawanan. 

The Old Lady berdepan kekecewaan sekali lagi selepas lima kali berturut-turut tewas pada aksi final antara 1997 hingga tahun lalu kepada Real Madrid di Cardiff.

Namun kali ini lebih sukar kerana pihak kelab bakal berdepan hukuman disiplin daripada UEFA berikutan tindakan Buffon ke atas pengadil dari England itu. 

"Sekarang kami perlu melupakan kekecewaan ini dan kembali bersikap positif menghadapi saingan liga. Kami masih mempunyai peluang untuk menjuarai liga serta Piala Itali," kata pemain pertahanan, Giorgio Chiellini. 

Juventus akan bertemu pasukan tangga kelapan liga, Sampdoria Ahad ini. - AFP 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 5:09 PM