BEKAS pemain perseorangan kebangsaan, Roslin Hashim akui Malaysia ada kelebihan. - Foto Eizairi Shamsudin
Helmi Talkah
helmi.talkah@nstp.com.my


SKUAD badminton negara mempunyai peluang lebih tinggi untuk ke final Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, bulan depan jika berjaya menewaskan Denmark sekali gus muncul juara peringkat Kumpulan D.

Bekas pemain perseorangan kebangsaan, Roslin Hashim, berkata jika menang ke atas juara bertahan itu,  Malaysia sudah mempunyai kelebihan daripada aspek psikologi yang pastinya menyuntik semangat pemain selain mendapat laluan yang lebih mudah di pusingan kalah mati.

Selain Denmark, Malaysia turut diundi bersama Russia dan Algeria.

"Saya fikir Malaysia tidak mempunyai masalah untuk mencatat kemenangan ke atas Russia dan Algeria. Pencabar paling utama sudah pasti Denmark.

"Namun, jika berjaya menang ke atas Denmark, sudah pasti ia memberi kelebihan untuk pasukan negara selain menyuntik semangat pemain kerana mereka berjaya menewaskan juara bertahan. Daripada aspek psikologinya skuad negara sudah ada kelebihan.

"Begitupun, semua tahu Denmark bukan pasukan yang mudah, atas kertas mereka mempunyai kekuatan yang seimbang dalam acara perseorangan dan beregu berbanding Malaysia. Jadi, pemain negara perlu melipat gandakan usaha, saya percaya peluang tetap ada," kata Roslin yang membantu Malaysia muncul naib juara Piala Thomas 2002 di Guangzhou, China.

Malaysia akan membuka tirai saingan menentang Russia pada 21 Mei sebelum bertemu Algeria sehari kemudian.

Denmark akan menjadi lawan terakhir skuad negara dalam aksi kumpulan yang berlangsung pada 23 Mei.

Pada edisi 2016 di Kunshan, China, hasrat Malaysia untuk ke final tidak kesampaian selepas tewas 2-3 di tangan Denmark dalam aksi separuh akhir.

Mengulas mengenai pemilihan pemain perseorangan keempat untuk skuad negara, Roslin menyifatkan Leong Jun Hao adalah calon terbaik bagi menggalas tugas berkenaan.

Ketika ini, tiga perseorangan negara sudah pasti akan ke Bangkok ialah Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Fokus kini terarah kepada perebutan slot selaku perseorangan keempat yang menjadi rebutan antara Jun Hao, Soong Joo Ven, Cheam June Wei selain perseorangan profesional, Goh Giap Chin, Liew Daren dan Chong Wei Feng.

"Sejak dari awal lagi iaitu ketika pusingan kelayakan di Kedah (Februari lalu), saya merasakan Jun Hao adalah pemain yang layak untuk mengisi tempat perseorangan keempat. Apabila BAM (Persatuan Badminton Malaysia) menyenaraikan Joo Ven, saya agak terkejut.

"Berdasarkan prestasi semasa ketika ini, Jun Hao lebih menyerlah. Biarpun dia baru berusia 18 tahun, namun saya lihat corak permainannya cukup matang dan dia boleh mengatasi tekanan... jadi saya percaya dia boleh galas tugas jika diturunkan," kata Roslin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 5:03 PM