RIBERY (tengah) menandatangani kontrak lanjutan selama setahun di Bayern Munich. FOTO/AFP
AFP

Berlin: Pemain sayap veteran, Franck Ribery, 35, menandatangani kontrak lanjutan selama setahun di Bayern Munich dan dia akan terus beraksi untuk musim 2018/19, lapor majalah sukan Jerman, Kicker, hari ini.

Kicker juga mendakwa, Ribery juga disarankan merebut tempatnya dan perlu bersaing dengan seorang lagi pemain sayap, Kingsley Coman, 21, dan Serge Gnabry, 22, yang akan kembali selepas menamatkan tempoh pinjamannya di Hoffenheim.

Bayern dilaporkan menerima tawaran beberapa kelab di Turki, China dan Qatar yang berminat dengan Ribery.

Kontrak barunya akan tamat Jun 2019 dan ia bertujuan menghargai sumbangannya bersama juara Bundesliga berkenaan. Ribery menyertai Bayern dari Marseille pada 2007 dan sudah membuat 380 penampilan, menjaringkan 117 gol selain membantu 176 jaringan kelab.

Ribery beraksi ketika Bayern seri tanpa jaringan dengan Sevilla, awal pagi tadi sekali gus membolehkan pasukannya melangkah ke separuh akhir buat kali ketujuh dalam tempoh sembilan musim.

Ribery beraksi dalam setiap kempen Bayern dan menjadi antara tonggak yang membantu pasukannya menjulang trebel pada 2013.

Sepanjang menyarung jersi Bayern, Ribery menjulang lapan gelaran Bundesliga, lima Piala Jerman dan satu Piala Kelab Dunia pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 6:26 PM