Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my


KELAB penyokong rasmi Liverpool di negara ini, KL Kopites mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya mengumpul dan mempamerkan 1,278 koleksi jersi kelab gergasi Inggeris itu di 1M4U Sentral di Puchong, hari ini.

Jersi itu yang dipinjam daripada peminat Liverpool di negara ini, dilabelkan dan disusun di lantai mengikut susunan penyumbang jersi dengan jersi terawal yang diperoleh adalah jersi tahun 1965.

Presiden KL Kopites, Sashi Nair berkata, kerja keras ahli jawatankuasa kelab itu akhirnya berbaloi apabila berjaya melepasi bilangan minimum yang ditetapkan MBOR iaitu sebanyak 1,000 jersi.


MOHAMAD Alex (tengah) bersama Bendahari Kelab Penyokong Liverpool KL Kopites, S Ragunath (kiri) dan Setiausaha Kelab Penyokong Liverpool KL Kopites, Thevindra Raj Selva Raj bergambar bersama jersi selepas mencatat sejarah MBOR di Dewan 1M4U, Puchong. FOTO/ NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

“Sebahagian besar penyumbang dari Malaysia dan ada juga dari luar negara, kebanyakannya adalah ahli KL Kopites.”

“Saya sangat gembira kerana jawatankuasa kerja KL Kopites melakukannya dengan cermat dan tersusun.”

“Ia bukanlah mudah untuk mengumpul 1,000 jersi dari seluruh negara dan dengan kerjasama yang diberikan, kami berjaya capai sasaran,” kata Sashi.

Turut hadir adalah legenda bola sepak, Datuk Santokh Singh, Ketua Unit Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), M K Kadir Bacha serta Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarrajh Chandra.

Timbalan Pengurus Besar MBOR, Mohamad Alex Andrew Jamuh Abdullah, mengesahkan rekod koleksi jersi Liverpool paling banyak yang dikumpulkan kelab penyokong itu.


PRESIDEN Kelab Penyokong Liverpool KL Kopites, Sashi Nair (tengah) bersama sebahagian ahli kelab itu bergambar bersama plak selepas mencatat sejarah dalam MBOR untuk pameran Koleksi Jersi Liverpool Paling Banyak di Dewan 1M4U, Puchong. FOTO/ NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 6:14 PM