MOHD NASRIQ BAHAROM
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


NEGERI Sembilan mahu menjadikan pertembungan dengan Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini, sebagai titik permulaan bagi kebangkitan pasukan itu.

Selepas kecundang kepada Pahang dengan jaringan 4-0 pada saingan terakhir 10 Mac lalu, skuad Hobin Jang Hobin mengharapkan kemenangan dapat dicapai pada pertemuan dengan Kelantan itu nanti.

Tonggak pertahanan berpengalaman, Mohd Nasriq Baharom berkata, dia dan rakan sepasukan sudah melupakan empat kekalahan yang dialami sebelum ini.

"Kami hanya sekadar menang satu daripada lima perlawanan liga sekali gus meletakkan kedudukan pasukan di tangga tercorot. Sememangnya kedudukan itu merupakan suatu cabaran besar bagi kami kerana ia boleh memberi tekanan kepada sesiapun, apatah lagi dengan saingan liga yang semakin sengit.

"Namun, Alhamdulillah, tempoh rehat panjang lebih sebulan membuka peluang kepada kami untuk memperbaiki kelemahan dan membentuk keserasian antara satu sama lain bagi membina semula kekuatan pasukan. Saya yakin usaha ini akan memberi kesan positif dan memuaskan terutamanya menentang Kelantan di laman sendiri, Sabtu ini," katanya selepas sesi latihan pagi tadi.

Mohd Nasriq yang memasuki musim ketiga bersama skuad Rusa berkata, pasukan itu semakin menunjukkan peningkatan prestasi sejak dikendalikan jurulatih baharu, Mohd Azraai Khor Abdullah.

Pemain kelahiran Kuala Selangor berusia 31 tahun itu percaya, pemain sudah dapat memahami corak dan taktikal yang dimahukan Azraai untuk memastikan persembahan Negeri Sembilan kembali menyengat.

Justeru katanya, dia dan rakan sepasukan perlu memberikan persembahan terbaik dengan memenangi perlawanan menentang Kelantan dan seterusnya menghadiahkan kemenangan kepada Azraai dan penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 5:30 PM