CRISTIANO Ronaldo hanya gunakan sentuhan serta ruang khas untuk cipta peluang terbaik jaringkan gol. - Foto EPA

MADRID: Cristiano Ronaldo sudah memecahkan satu rekod dalam Liga Juara-Juara tahun ini, namun apabila berdepan Juventus pada suku akhir kedua awal pagi Khamis ini, dia masih boleh mencipta kejayaan lebih besar.

 

‘Sepakan basikal’ Ronaldo ketika Real Madrid menang 3-0 pada pertemuan pertama minggu lalu memastikan dia mengatasi Ruud van Nistelrooy dengan menjaringkan 10 gol berturut-turut dalam Liga Juara-Juara.

 

Namun, pemain Portugal itu kini hanya kurang tiga gol untuk mencipta jaringan terbaik dalam satu kempen Eropah, pencapaian yang menunjukkan Ronaldo, 33, masih boleh menjadi yang terbaik.

 

Jaringan 14 gol setakat ini dicipta dalam sembilan perlawanan dilakukan menerusi dua gol berdepan APOEL, Borussia Dortmund, Paris Saint-Germain dan Juventus.

 

Ia bermakna Ronaldo kini adalah penyerang ketiga paling prolifik dalam Liga Juara-Juara dan ketika Real hampir pasti mara ke separuh akhir, dia masih boleh melakukannya.

 

Ketika dia mengumpul 16 gol pada musim 2015-16 dan catatan terbanyak 17 gol pada 2013-14, kedua-duanya berakhir dengan Real muncul juara.

  

“Cristiano ialah Cristiano, dia sentiasa seperti itu,” kata Zinedine Zidane selepas Ronaldo membuka jaringan berdepan Atletico Madrid, semalam.

 

“Tiada pemain lain dalam pasukan yang menjaringkan gol seperti dilakukannya.”

Tidak dinafikan gaya permainan Ronaldo kini lebih khusus supaya dia lebih berupaya menjaringkan gol berbanding dulu.

 

Untuk menyimpan tenaga dan kecergasan, dia kurang menerima sentuhan dan tidak banyak berlari. Sentuhan serta ruang digunakannya memang disasarkan khas untuk mencipta peluang terbaik mencari gol.

Sistem digunakan Zidane juga sesuai dengan naluri pemusnah Ronaldo, formasi 4-4-2 dengan Karim Benzema bermain selaku sokongan dan sayap - menerima arahan untuk menghantar bola ke dalam kotak penalti. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 11:06 AM