PENEMBAK negara, Johnathan Wong Guanjie. - Foto SHIRAZ ALI
Oleh Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid
sukantema@nstp.com.my


GOLD COAST: Perasaan kecewa jelas tergambar di wajah Johnathan Wong Guanjie selepas bidikan pertamanya jauh tersasar, ketika beraksi di pentas akhir acara 10m pistol, sekaligus menyaksikan dia menamatkan aksi tanpa sebarang pingat di Pusat Menembak Belmont.

Atlet kelahiran Melaka itu layak ke akhir selepas menamatkan saingan di tempat tiga terbaik kelayakan dengan catatan 570 mata tetapi hanya mampu meraih 7.8 mata pada bidikan pertama, diikuti 8.2 bidikan kedua ketika peserta lain menembak sekitar 9 mata.

Dia menjadi penembak pertama disingkirkan di pentas akhir selepas hanya mampu mengumpul 112 mata.

Johnathan yang meraih emas dalam acara itu ketika Sukan SEA Kuala Lumpur, mengalirkan air mata, menggambarkan betapa kecewanya selepas tamat acara yang dimenangi penembak dari India, Jitu Rai yang turut melakarkan rekod baharu temasya 235.10 mata.

“Saya sebenarnya bergelut dengan teknik ketika pusingan kelayakan. Saya harap masalah itu akan bertambah baik ketika final, tetapi ia perkara sama berulang dan tembakan pertama sangat teruk.

“Tembakan kedua lebih baik, namun atlet lain sudah jauh ke depan dan sukar untuk mengejar.

“Saya cuba sebaik mungkin. Mengikuti apa yang diarahkan oleh jurulatih namun semuanya tidak menjadi,” katanya.

Katanya, 570 mata yang dicatatkan ketika aksi kelayakan jauh dari catatan terbaiknya.

“Kebiasaannya saya mampu melakukan sekitar 577-580 mata ketika latihan. Saya perlu melupakan semua ini dan kembali fokus dalam acara 50m pistol Rabu ini.

“Biarpun ia bukan acara kegemaran saya tapi selepas apa yang berlaku hari ini saya akan cuba yang terbaik untuk melakukan perubahan.

Sementara itu, seorang lagi penembak negara, Nur Suryani Taibi gagal mara ke peringkat akhir 10m air rifle, selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-11 selepas dan hanya meraih 406.60 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 1:43 PM