PENYERANG Lyon, Mariano Diaz melepaskan rembatan untuk tewaskan penjaga gol Metz bagi gol kelima pasukan. - Foto AFP

PARIS: Lyon melonjak ke tangga ketiga Ligue 1, menerusi kemenangan 5-0 di Metz dan mengatasi Olympique de Marseille, yang hanya seri tanpa jaringan ketika berkunjung ke Montpellier, awal pagi tadi. 

Dua jaringan babak pertama Marcelo diikuti gol selepas rehat oleh Memphis Depay, Bertrand Traore dan Mariano Diaz meletakkan Lyon kini 63 mata daripada 32 perlawanan.

Mereka kini mendahului Marseille, yang gagal memecah kebuntuan berdepan Montpellier di Stade Velodrome, berdasarkan perbezaan gol, berbaki enam perlawanan musim ini.

Pasukan tangga kedua, Monaco yang menewaskan Nantes 2-1 di laman sendiri Sabtu lalu, kini mengumpul 70 mata, manakala pendahulu Paris St Germain meraih 84 mata selepas seri 1-1 di St Etienne, Jumaat lalu.

PSG akan dimahkotakan selaku juara jika mereka menewaskan Monaco di Parc des Princes, Ahad depan.

“Ia adalah permulaan yang sempurna buat kami,” kata jurulatih Lyon, Bruno Genesio selepas Marcelo membuka jaringan pada minit pertama dan pemain Brazil itu menambah jaringan kedua pada minit ke-20.

Depay menampilkan persembahan hebat dan menjadikan 3-0 pada minit ke-65, dengan hantaran lambung sebelum memberi laluan buat Traore dan Diaz untuk dua gol terakhir. - REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 10:41 AM