EZUAN akui bahang panas ganggu konsentrasinya. -Foto BERNAMA
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid
sukanteam@nstp.com.my

BAHANG panas Pusat Menembak Belmont menjejaskan tumpuan Muhd Ezuan Nasir Khan dalam acara 10m air rifle, hari ini.

Penembak berusia 29 tahun itu berada di kedudukan ke-9 dengan hanya kurang 0.50 mata untuk mara ke final dengan catatan mata keseluruhan 614.60.

“Venue di sini fantastik tetapi malang penghawa dinginya mengecewakan. Saya banyak berpeluh dan tidak dapat fokus kepada bidikan saya,” kata Ezuan.

“Saya kecewa gagal ke final selepas meraih tempat keenam di edisi 2014 Glasgow. Bagaimanapun, pengalaman hari ini membantu saya untuk menghadapi acara 50m prone, pada Selasa ini,” kata Ezuan.

Ezuan ialah pemenang pingat perak di Sukan Asia Incheon 2014 dan emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Penembak Australia, Dane Sampson menjuarai acara itu dengan 245 mata iaitu rekod baru kejohanan. Perak milik penembak Bangladesh, Abdullah Baki (244.70) dan gangsa milik penembak India, Ravi Kumar (224.10).

Penembak veteran negara, Bibiana Ng juga gagal menyerlah dalam acara 10m air pistol wanita selepas menduduki tempat ke-11 dengan catatan 370 mata. Manu Bhaker dari India menang emas dengan mencatat 240.90 mata dan perak milik rakan sepasukan Heena Sidhu (234). Penembak tuan rumah, Elena Galiabovitch meraih gangsa dengan catatan 214.90.

Bagaimanapun, jurulatih negara, Sabki Din tidak bimbang dengan prestasi buruk penembak negara pada hari pertama acara itu. Dia yakin anak buahnya akan bangkit esok melalui Johnathan Wong dalam acara 10m air pistol lelaki dan Nur Suryani Taibi dalam acara 10m air rifle wanita.

“Kami pastik akan kembali dari Gold Coast dengan pingat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 4:54 PM