PEMAIN Everton Cenk Tosun (kanan) melakukan percubaan ke gawang Liverpool. -Foto Reuters
AFP

LIVERPOOL, England: Liverpool kelihatan terjejas tanpa khidmat bintang utama Mohamed Salah apabila mereka diikat 0-0 oleh Everton pada pertembungan musuh setempat Merseyside bagi aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, sebentar tadi.

Salah, pemain sayap dari Mesir yang menyerlah dalam kempen mengagumkan Liverpool setakat ini, diketepikan kerana kecederaan kecil di pangkal paha ketika pengurus Juergen Klopp mahu memberikan peluang buat pemain utamanya itu cergas bagi aksi penting Liga Juara-Juara menentang Manchester City, awal pagi Rabu ini.

Danny Ings dan Dominic Solanke kelihatan berkarat ketika mereka tampil dalam kesebelasan utama dengan Solanke gagal menyempurnakan dua peluang awal.

Roberto Firmino masuk sebagai pemain gantian pada lewat permainan ketika Reds terdesak mencari gol kemenangan namun pasukan tangga ketiga Liga Perdana itu terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Mereka bagaimanapun meneruskan rekod tanpa kalah dalam pertembungan musuh setempat Merseyside kepada 17 perlawanan, ketika Seamus Coleman dan Dominic Calvert-Lewin kedua-duanya gagal menyudahkan dua cubaan lewat Everton.

Klopp terpaksa membuat keputusan penting mengenai pemilihan pemainnya dengan Liverpool berdepan aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang City tiga hari lagi berikutan kemenangan 3-0, awal pagi kelmarin.

Hakikat beliau melakukan lima pertukaran membuktikan di mana keutamaannya ketika ini.

Ings memulakan aksi liga buat kali pertama sejak Klopp mengambil alih dua setengah tahun lalu, sesudah bangkit daripada dua kecederaan lutut serius, manakala Solanke hanya tampil kali keempat dalam kesebelasan utama kelab itu bagi aksi liga.

Selain itu, Nathaniel Clyne memulakan perlawanan kali pertama dalam tempoh 11 bulan selepas pulih daripada kecederaan belakang serius, manakala pertahanan tengah Ragnar Klavan dipaksa beraksi di pertahanan kiri, selepas hanya bermain selama 11 minit sejak awal tahun ini.

Disebabkan rombakan itu, Liverpool gagal bertindak baik seperti sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 10:05 PM