MUHAMAD FAZRUL AZRIE MOHDAD
Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid
sukanteam@nstp.com.my


MUHAMAD Fazrul Azrie Mohdad terus menceriakan skuad angkat berat negara apabila membawa pulang pingat gangsa dalam acara 85kg lelaki, dua hari selepas Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dan Muhammad Aznil Bidin meraih pingat emas pertama dan kedua negara pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Atlet kelahiran Johor itu melakukan angkatan 145kg dalam acara snatch, 185kg clean and jerk sekali gus mengumpul 328kg keseluruhan.

Emas menjadi milik peserta India, Venkat Rahul Ragala dengan angkatan keseluruhan 338kg manakala perak dimenangi Don Opologe dari Samoa dengan 331kg.

“Alhamdulillah, rezeki menyebelahi saya dan saya amat gembira dengan kemenangan ini,” kata atlet berusia 22 tahun itu.

“Ini Sukan Komanwel pertama saya dan tumpuan selepas ini adalah Sukan Asia. Bagaimanapun saya ingin melihat tahap kecederaan belakang saya terlebih dahulu.

“Saya mengalami kecederaan sewaktu latihan di Balikpapan namun lega apabila tidak mengalami masalah ketika melakukan angkatan.”

Sementara itu Abdul Mubin Rahim ternyata gagal menyaingi lawan untuk menyaksikan kedudukan podium menjadi milik atlet India, Sathish Kumar Sivalingam diikuti Jack Oliver (England, perak) dan Francois Etoundi (Australia, gangsa) dalam kategori 77kg.

Mubin menamatkan saingan di tangga ketujuh apabila melakukan angkatan 130kg bagi snatch, 160kg dalam clean and jerk sekali gus 290kg secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 8:23 PM