PKBM gembira prestasi pelumba TSG. FOTO/FAIL
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) gembira dengan perkembangan positif dipamerkan pasukan benua tempatan dalam saingan di pentas antarabangsa sejak awal tahun ini.

Menurut Setiausaha Agung PKBM, Ibrahim Mustapa, terdapat peningkatan dipamerkan terutamanya dalam meningkatkan prestasi pelumba tempatan.

“Malaysia mempunyai tiga pasukan berstatus benua dan nampaknya mereka mempamerkan prestasi yang baik setakat ini,” jelasnya.

Terengganu Cycling Team (TSG) paling menonjol apabila pelumbanya dari Russia, Artem Ovechkin muncul juara individu keseluruhan (jersi kuning) pada saingan berstatus 2.HC, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 pada bulan lalu.

Ia adalah pertama kali pasukan dari Malaysia memenangi jersi utama yang menjadi rebutan selain memecahkan dominasi pasukan elit yang berstatus Pro Tour dan profesional benua.

Manakala Team Sapura Cycling (TSC) turut cemerlang apabila muncul pasukan terbaik pada kejohanan berstatus 2.2 Jelajah Eropah di Turki pada Tour of Cartier - East Mediterrannean Cycling Prohect.

“Gandingan mereka bersama pelumba luar negara memberikan hasil yang positif. Kita percaya itu adalah petanda baik untuk menghadapi kejohanan dan temasya akan datang apabila apabila diberi peluang mewakili negara nanti.

“Saya berharap lebih banyak kejayaan mampu dicapai mereka terutamanya barisan pelumba tempatan,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 1:42 PM