AZROY gembira dengan kejayaannya lakar sejarah bermakna. -Foto BERNAMA
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid
sukanteam@nstp.com.my

ATLET angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad melakar sejarah tersendiri pada Sukan Komanwel Gold Coast apabila muncul atlet pertama negara meraih pingat emas apabila mengungguli kategori 56kg di Carrara Sports and Leisure Centre hari ini.

Lebih bermakna, dia turut memecahkan rekod dua rekod Sukan Komanwel, kedua-duanya milik Amirul Hamizan Ibrahim dalam acara snatch dan keseluruhan.

Azroy melakukan angkatan 117kg dalam acara snatch mengatasi rekod 116kg Amirul pada Sukan Komanwel New Delhi 2010, 144kg dalam clean and jerk dan 261kg dalam acara keseluruhan yang memecahkan rekod Amirul di Manchester 2002.

Kemenangan itu dianggap sebagai hadiah hari lahir terbaik buat atlet berusia 24 tahun dari Rompin yang sepatutnya disambut semalam.

Namun, apa yang pasti kejayaan itu adalah hadiah terbaik buat Amirul yang dianggap sebagai mentor dan idolanya dalam sukan terbabit.

“Dia bukan saja berasal dari tempat yang sama tetapi juga idola saya dan dia sebagai pengurus pasukan banyak memberi dorongan terhadap saya.”

Ketika beraksi pagi tadi, Azroy membayangkan kejayaan Amirul di Manchester dan New Delhi dan bertekad mahu mengikut jejaknya.

“Saya katakan kepadanya sebelum pertandingan saya akan menggantikan tempatnya dan akhirnya berjaya.”

Menurutnya, selepas diletakkan harapan begitu tinggi, dia gembira dapat membuktikan kemampuan kepada rakyat Malaysia dan memberikan pingat emas pertama buat negara.

“Saya ingin tujukan pingat emas ini kepada ibu bapa, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

“Angkatan keseluruhan saya pada Sukan SEA lalu adalah 259kg, dan kali ini saya memperbaikinya dengan 261kg.

“Saya menyasarkan untuk memecahkan tiga rekod tetapi disebabkan masalah lutut, saya cuma mampu pecahkan dua rekod. Apa yang penting bagi saya, emas dahulu, rekod kemudian,” katanya.

Selepas ini tumpuannya bakal terarah untuk mempamerkan aksi terbaik pada Sukan Asia Indonesia.

Dalam aksi pagi tadi, pingat perak milik peserta India, Gururaja dan gangsa dibawa pulang oleh Chaturanga Lakmal dari Sri Lanka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 4:03 PM