SUPER KIP baru menjalani pembedahan tangan. FOTO/FAIL
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my

PELUMBA Moto2 negara, Khairul Idham Pawi mengakui kecederaan di bahagian tangannya kini semakin pulih dan tidak sabar untuk berlumba di Sirkit Termas de Rio Hondo, Argentina minggu ini.

Khairul Idham yang bakatnya mula menyinar di pentas domestik - Kejuaraan Cub Prix Malaysia - menamatkan pusingan pertama musim 2018 di Grand Prix (GP) Qatar dengan berada di tangga ke-23, dua minggu lalu dengan dia baru menjalani pembedahan tangan, sebulan sebelum itu.

Namun, pencapaian pelumba berusia 19 tahun di Litar Losail itu menampakkan peningkatan andai dibandingkan dengan musim pertamanya di Moto2 tahun lalu di mana pelumba IDEMITSU Honda Team Asia berkenaan menamatkan saingan di tangga ke-28.

Malah, catatan untuk 20 pusingan di Qatar juga menunjukkan peningkatan apabila juara Moto3 di GP Argentina tahun lalu itu melakukan 41 minit 02.578 saat manakala 41’09.686s tahun lalu.

“Saya akan cuba melakukan yang terbaik, biarpun tangan masih terasa sakit tetapi ia semakin pulih,” kata Khairul Idham kepada media selepas memeriahkan pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2018 yang juga ulang tahun ke-25 penganjurannya di Litar Tangkak, Johor, semalam.

Sejak dianjurkan pada tahun 1994, ramai bakat pelumba negara berjaya dicungkil dan Khairul Idham adalah generasi ketiga sebaris Hafizh Syahrin Abdullah, Zulfahmi Khairuddin dan Zaqhwan Zaidi.

“Saya akan cuba memperbaiki catatan masa sepusingan dari tahun lalu di Argentina dan mencari posisi terbaik untuk perlumbaan nanti,” katanya yang turut menubuhkan pasukan Super KIP Honda Racing Academy dalam Kejuaraan Cub Prix musim ini.

Tahun lalu, Khairul Idham menamatkan pusingan kedua musim di Argentina di tangga ke-24 selepas memulakan perlumbaan dari petak ke-28.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 6:31 PM