KLOPP (kiri) mahu anak buahnya fokus pada aksi pertama suku akhir UCL menentang anak buah Guardiola. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Pengendali Liverpool, Juergen Klopp menjangkakan aksi sengit apabila kelab Merseyside itu berdepan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

Menurut Klopp, anak buahnya kini berada di tahap terbaik dan mampu melakukan kejutan ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris itu untuk mara ke kelompok empat terbaik Eropah.

City bertandang ke Anfield untuk pusingan pertama suku akhir, meneruskan seteru yang menyaksikan 12 gol dijaringkan dalam dua pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan.

“Jika saya diberi pilihan untuk menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara pada Rabu, saya akan menonton perlawanan ini,” kata Klopp.

“Saya rasa ia pasti hangat...ia berkenaan taktik tetapi akan ada ‘api’ dalam perlawanan itu, jadi ia amat menarik. Malah ia berlangsung di Anfield, jadi suasananya sangat bagus untuk ditonton.”

Liverpool tewas 5-0 dalam aksi liga di Stadium Etihad September lalu selepas penyerang Sadio Mane dibuang padang tetapi menebus kekalahan mereka dengan kemenangan 4-3 di Anfield pada Januari - satu-satunya kekalahan City dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini.

Walaupun tewas, skuad kendalian Pep Guardiola kekal dengan jurang 16 mata di puncak liga dan Klopp mengakui sukar untuk menyingkirkan City dalam aksi timbal balik saingan Eropah itu.

“Adakah kami fikir sebelum perlawanan pertama itu yang kami akan tewas 5-0? Tidak. Adakah kami fikir akan menang 4-3 pada perlawanan kedua? Tidak. Tetapi adakah kami tahu kami mempunyai peluang? Iya.

“Sebenarnya memang jelas kami di tahap yang sama tetapi mereka lebih konsisten dan sebab itu mereka berada lebih tinggi dalam liga. Kami yakin dengan peluang kami tetapi kami sedar ia amat sukar,” kata Klopp.

Kedua-dua memanaskan badan menjelang pertemuan itu dengan kemenangan liga pada hujung minggu. Liverpool mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga dengan kemenangan 2-1 di Crystal Palace, manakala City menang 3-1 ke atas Everton di Goodison Park.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 1:03 PM