KASMA Daniel (depan) ungguli perlumbaan pertama musim ke-25 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Lumba Tangkak. Foto NSTP

TANGKAK: Juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin terus membuktikan kehebatannya apabila mengungguli perlumbaan pertama musim ke-25 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Lumba Tangkak, di sini, hari ini.

 

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu menamatkan 20 pusingan saingan dengan masa keseluruhan 14:54.984s, mengatasi dua pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ, Ahmad Afif Amran dan Mohd Hafiz Nor Azman.

 

Ahmad Afif menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 14:55.266s manakala Mohd Hafiz meraih podium pertama dalam kelas perdana di tangga ketiga dengan masa 15:01.124s.

 

Pelumba rookie yang juga juara CP115, Mohd Akid Aziz mencipta kejutan dengan mencatat masa terpantas ketika sesi Superpole dan seterusnya memulakan perlumbaan dari petak pertama, gagal menyerap tekanan pelumba senior apabila terlepas kedudukan pendahulu sebaik perlumbaan bermula kepada Kasma sebelum terpaksa menarik diri dari pada pusingan pertama.

 

Kasma mendahului perlumbaan sehingga ke garisan penamat meskipun cuba diberikan cabaran oleh Afif pada penghujung perlumbaan.

 

“Saya terpaksa bekerja keras untuk mengekalkan kedudukan pada penghujung perlumbaan kerana Afif memberikan saingan sengit. Saya menutup segala ruang untuk Afif memintas dan berjaya memenangi perlumbaan,” kata Kasma.

 

Dalam saingan CP115, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) memulakan musim 2018 dengan cemerlang selepas muncul juara dengan masa keseluruhan 11:45.056s. 

Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) di kedudukan kedua dengan masa 11:48.459s, diikuti Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) ketiga, 11:49.814s.

 

Sementara itu, dalam kategori WIRA KBS, kemenangan menjadi milik duo SIC Junior Team AFB Tech Racing, Md Danial Syahmi dan Md Harith Haziq dengan masa keseluruhan 10:27.747s dan 10:28.421s.

Tempat ketiga milik Alif Ashraf Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yamaha) dengan masa 10:29.866s.

 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut hadir bagi merasmikan sambutan ulang tahun ke-25 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan pembukaan Litar Lumba Tangkak.

KEPUTUSAN:

 

CP150

1 Kasma Daniel Kasmayuddin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 14:54.984s

2 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ 14:55.266s

3 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ 15:01.124s

4 Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 15:01.350s

5 Md Adib Rosley (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 15:09.121s

 

CP115

1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 11:45.056s

2. Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ 11:48.459s

3. Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 11:49.814s

4. Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 11:50.054s

5. Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 11:55.567s

 

WIRA KBS

1. Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB Tech Racing 10:27.747s

2. Harith Haziq (SGR) SIC Junior Team AFB Tech Racing 10:28.421s

3. Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha 10:29.866s

4. Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 10:34.911s

5. Daniel Fahim (PNG) Sic Junior Team AFB Tech Racing 10:39.437s

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 7:16 PM