PEP GUARDIOLA
AFP

LIVERPOOL: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola bertegas fokusnya terarah kepada dua pertemuan suku akhir Liga Juara-Juara bertemu Liverpool sekali pun berpeluang mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) lebih awal.

City menewaskan Everton 3-1, awal pagi tadi untuk menghampiri gelaran utama domestik yang boleh dilengkapkan dengan kemenangan ke atas seteru tetangga Manchester United, minggu depan.

Begitupun, mereka terlebih dulu perlu mengharungi aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool, Khamis ini dan Guardiola berkata beliau lebih gemar untuk memberi tumpuan terhadap perlawanan berkenaan berbanding prospek menewaskan United di Etihad.

“Saya faham orang mula bercakap mengenai United tetapi ketika ini semua keputusan adalah mengenai Liverpool,” kata Guardiola. 

“Kami ketika ini berada di kedudukan yang paling hampir. Kami mempunyai satu perlawanan untuk menang. Jika kami tidak mampu menang, kami mempunyai enam lagi peluang.

“Kami amat-amat hampir dan kami amat gembira dengan prestasi kami. Satu lagi perlawanan dan kami akan menjadi juara. Bagi peminat, ia penting. Ia istimewa. Amat penting untuk kami menang, tidak kira di mana kami berada.

“Tetapi apa yang paling adalah dua perlawanan ini. Kami perlu pergi ke Anfield dengan perasaan yang baik. Kini kami mempunyai beberapa hari untuk melakukan persediaan.”

Permainan yang ditampilkan City pada kempen musim ini jelas cukup meyakinkan dan penuh kualiti tatkala mereka ketika ini memiliki kelebihan 16 mata di atas United yang menghuni tangga kedua.

Sementara itu, Guardiola berkata dia tidak bimbang pasukan sedikit ‘berkarat’ selepas kali terakhir City beraksi adalah ketika menewaskan Stoke 2-0 pada 12 Mac lalu.

“Sudah agak lama kami tidak bersama. Dan saya tidak mahu untuk bermain dengan tujuh, lapan, sembilan pemain mengharungi perlawanan Khamis ini selepas empat minggu tidak bermain bersama. 

“Kami perlu bersatu untuk mendapatkan semula kepantasan, rentak kami. Kami mengawal permainan dan ia adalah kemenangan yang besar. Ini kali pertama saya selaku pengurus dapat menewaskan Everton.”

Kekalahan kepada City tidak menghalang peminat Everton untuk kekal sehingga wisel penamat malah mereka turut menepuk tangan ketika pemain Citizens meninggalkan padang dan ia jelas menggembirakan Guardiola.

“Mungkin kerana kami akan bermain menentang Liverpool, saya tidak tahu,” katanya. “Tetapi terima kasih. Saya tidak tahu tetapi saya mengucapkan tahniah kepada pemain atas apa yang mereka lakukan. 

“Pertama sekali kepada peminat kami tetapi juga kepada mereka yang menggemari bola sepak dan menikmati permainan kami. Ia satu kepuasan. Musim lepas, saya menepuk tangan kepada mereka ketika kekalahan 0-4.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 12:05 PM