REAKSI Dybala selepas gol pertama Juventus. - Foto REUTERS
AFP

TURIN: Leonardo Bonucci meledak gol ketika kepulangan semulanya ke Juventus tetapi gagal menghalang juara Itali itu mendekati gelaran Serie A ketujuh berturut-turut susulan kemenangan 3-1 ke atas AC Milan, awal pagi tadi.

Paulo Dybala membuka tirai jaringan seawal minit kelapan perlawanan sebelum Juan Cuadrado yang baru pulih sepenuhnya daripada kecederaan meledak gol kedua.

Sami Khedira menjaringkan gol ketiga Juventus pada lewat permainan untuk memberikan tuan rumah kelebihan empat mata di depan Napoli yang sebelum itu dipalit keputusan seri selepas diikat 1-1 oleh kelab bergelut, Sassuolo.

Pertahanan Itali, Bonucci, 30, meninggalkan Turin pada musim panas lalu untuk menyertai Milan selepas tidak berselisih faham dengan jurulatih Massimiliano Allegri dan kepulangan semula di Stadium Allianz disambut dengan ejekan penyokong tuan rumah.

“Saya gembira kerana Bonucci memperoleh gol, tetapi saya lebih gembira yang Juventus menang,” kata Allegri. 

“Penting untuk kembali ke landasan kemenangan dengan cara seperti ini menentang Milan, mereka berada dalam keadaan yang cukup baik. Kemenangan seperti itu seperti menghantar isyarat.”

Jaringan pembukaan Dybala gagal dihalang Gianluigi Donnarumma sekali pun penjaga gol muda Itali itu menafikan percubaan Gonzalo Higuain sebelum itu.

Selepas jaringan itu, Milan menggandakan serangan tetapi tandukan Andre Silva tersasar sebelum Bonucci menyamakan kedudukan pada minit ke-28 yang menjadi gol pertama dilepaskan Juventus pada 2018.

Begitupun, Juventus meningkatkan permainan di penghujung perlawanan dengan gandingan Khedira bersama pemain gantian, Cuadrado berjaya menewaskan Donnarumma untuk kali kedua pada minit ke-79 sebelum pemain tengah Jerman itu menyambut kemas hantaran Dybala untuk gol ketiga pada minit ke-87.

Ia adalah kekalahan pertama Milan di bawah kendalian Gennaro Gattuso pada 2018 dalam kempen Serie A sekali gus memberi Juventus semangat untuk mengharungi aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.

“Pada penghujung perlawanan, kelebihan mengambil alih dan mereka mempunyai pemain-pemain yang hebat dan memanfaat kelebihan itu,” kata Gattuso.

Juventus ketika ini mengumpul 78 mata daripada 30 perlawanan dengan Napoli (74) manakala Milan kekal di tangga keenam dan ketinggalan lapan mata daripada tiket ke Liga Juara-Juara. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 9:17 AM