PEMAIN Wolves meraikan kemenangan selepas menewaskan Middlesbrough 2-1 awal pagi tadi. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Wolves menewaskan Middlesbrough 2-1 awal pagi tadi dan mengekalkan jurang enam mata di puncak Championship walaupun beraksi dengan sembilan pemain.

Jaringan Helder Costa dan Ivan Cavaleiro dalam masa lima minit di separuh masa pertama membolehkan Wolves hanya memerlukan tiga lagi kemenangan untuk layak semula ke Liga Perdana.

Ruben Neves dan Matt Doherty dibuang padang selepas terbabit dalam insiden kekasaran sebelum Patrick Bamford menjaringkan gol untuk Boro pada minit akhir perlawanan. Boro kekal di tangga keenam, slot terakhir untuk perlawanan play-off.

Cardiff City kekal di tangga kedua selepas menang 3-1 ke atas Burton, semalam dan kini tujuh mata di atas pasukan di tangga ketiga, Fulham.

Hanya dua pasukan teratas mendapat tiket automatik ke Liga Perdana dan empat lagi kelab akan berentap dalam aksi play off untuk merebut tiket terakhir ke liga elit Inggeris.

Jaringan Kenneth Zohore, Nathaniel Mendez-Laing dan Callum Paterson membolehkan Cardiff melebarkan rekod kemenangan kepada lapan perlawanan berturut-turut. Darren Bent menjaringkan gol buat Burton. Fulham pula menewaskan Norwich 2-0 di tempat lawan.

Sunderland meraih kemenangan penting selepas menang kali pertama di tempat lawan sejak Disember lalu dengan menewaskan Derby 4-1 di Pride Park.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 12:48 PM