CONTE mahu anak buah pamer aksi terbaik menentang Spurs. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Chelsea yang menanti kunjungan Tottenham, esok bertekad untuk meneruskan kemarau 28 tahun pelawat bagi meraih kemenangan liga di Stamford Bridge selain menghidupkan peluang The Blues ke kancah Liga Juara-Juara, musim depan.

Juara Inggeris itu ketika ini ketinggalan lima mata di belakang Tottenham yang menghuni tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menjadi tiket terakhir ke saingan elit Eropah itu berbaki lapan perlawanan musim ini.

Terlepas tempat di tangga empat terbaik jelas akan meningkatkan tekanan membabitkan masa depan pengurus, Antonio Conte di Stamford Bridge tatkala timbul spekulasi yang mengatakan hubungannya dengan pemilik, Roman Abramovich tidak begitu baik.

Begitupun, Conte kekal yakin pasukan bimbingannya mampu menebus kehampaan dan meraih kembali mata yang hilang disebabkan oleh empat kekalahan daripada enam perlawanan terakhir liga dengan kemenangan ke atas Spurs.

“Jika kami menang, kami akan berada amat hampir dengan Tottenham,” kata Conte. “Jika tidak, kami akan kekal tidak begitu hampir.

“Dengan berbaki tujuh lagi perlawanan, pasti sukar untuk mendapatkan tempat di Liga Juara-Juara.”

Berbeza dengan Chelsea, Tottenham begitupun tidak pernah tewas dalam 12 perlawanan terakhir liga sejak Disember lalu.

Sementara itu, memetik kepada akhbar England, Conte mengakui Tottenham yang dikendalikan Mauricio Pochettino meningkat dengan lebih pantas berbanding Chelsea tetapi menegaskan menjuarai trofi jauh lebih penting.

“Semua pengurus mahu menang trofi,” kata Conte. “Tetapi jika kamu hanya mahu menang trofi, mungkin lebih mudah jika pergi ke negara lain.

“Di England, jika kamu kekal di sini, untuk memenangi trofi adalah amat-amat sukar. Untuk menjadi jurulatih di liga ini adalah pencapaian yang hebat untuk pengurus, kerana ia amat sukar.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 12:02 PM