PENYOKONG Olympiakos ketika menyaksikan perlawanan menentang AEK Athens.
AFP

PIRAEUS: Seramai 100 penyokong Olympiakos bertempur dengan polis pencegah rusuhan di luar hotel Piraeus, pagi tadi selepas tidak puas hati dengan dakwaan terdapat campurtangan kerajaan yang menyebelahi pasukan lawan mereka. Menteri Kewangan Greece, Euclid Tsakalotos berada di hotel ketika itu.

Polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan itu yang ada di antara mereka membakar tong sampah.

Media sosial menggesa penyokong Olympiakos bangkit membantah ‘mereka yang menentang Olympiakos dan pihak yang mahu membubarkan kelab itu’.

Sejak beberapa hari lalu, pegawai Olympiakos mendakwa dalam media sosial, kerajaan menyebelahi cadangan badan bola sepak negara itu untuk menghukum kelab itu.

Isnin lalu, Persekutuan Bolasepak Greece menolak permintaan Olympiakos untutk mendapatkan semula tiga mata yang dipotong bulan lalu oleh Liga Super akibat keganasan penonton selepas tewas di tangan AEK Athens 1-2.

Kelab Piraeus itu juga didenda 90,000 euro (RM430,000) dan beraksi dua perlawanan tanpa penyokong di tempat sendiri.

Juara bertahan itu kini bertarung sengit tiga penjuru dengan AEK dan PAOK untuk menjuarai liga buat kali kelapan berturut-turut.

Awal bulan ini, PAOK berjaya mendapatkan semula tiga mata yang dipotong selepas bantahan hebat penyokong. Ada di antara mereka merempuh masuk ke stesen televisyen ERT 3.

PAOK dihukum selepas tamat perlawanan menentang Olympiakos yang dicemari keganasan penonton. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 10:31 AM