PERUBAHAN peraturan baharu UEFA akan diguna pakai musim depan. FOTO/AFP
Reuters

ZURICH: Pemain yang bertukar kelab ketika musim sedang berlangsung akan dibenarkan bermain bersama pasukan baharu dalam kancah Liga Juara-Juara di bawah peraturan baharu diumumkan badan induk, UEFA, hari ini.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dalam satu kenyataan berkata, ia turut membenarkan pasukan untuk menggunakan pemain gantian keempat bagi tambahan masa ketika perlawanan kalah mati Liga Juara-Juara dan Liga Europa.

Peraturan baharu itu, yang akan digunakan musim depan bermakna pemain yang sudah bermain bersama satu pasukan di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan kemudian berpindah ketika perpindahan Januari, boleh bermain untuk kelab baharu mereka di peringkat kalah mati. Peraturan sama turut digunakan dalam Liga Europa.

Di bawah peraturan baharu, kelab yang layak ke peringkat kalah mati sama ada Liga Juara-Juara atau Liga Europa dibenarkan untuk mendaftar tiga pemain baharu.

Ini termasuk seorang pemain yang sudah mewakili kelab berbeza dalam peringkat kumpulan Liga Europa tetapi tidak disenaraikan bersama kelab lain pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Peraturan sedia ada menghalang Barcelona daripada menyenaraikan Philippe Coutinho untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim ini kerana dia sudah bermain dengan Liverpool.

Alexis Sanchez juga layak bermain untuk Manchester United sekalipun dia beralih angin dari Arsenal yang beraksi di Liga Europa ke Liga Juara-Juara.

Peraturan baharu itu menyatakan: “Kelab boleh mendaftarkan tiga pemain baharu tanpa sebarang halangan.”

UEFA berkata, keputusan baru itu menjadikannya selari dengan saingan liga domestik yang “tidak mengenakan sekatan terhadap kelayakan untuk mendaftarkan pemain ke kelab baru semasa jendela perpindahan musim sejuk.”

Menurut UEFA, pemain gantian keempat akan dibenarkan selepas ia diluluskan oleh badan penggubal peraturan bola sepak Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) pada 3 Mac lalu.

Ia menyatakan 23 pemain, bukannya 18, akan dibenarkan untuk disenaraikan dalam pasukan bagi final Liga Juara-Juara dan Liga Europa serta perlawanan Piala Super Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 10:46 PM