OVECHKIN (tengah) meraikan kemenangan Jersi Kuning (Keseluruhan) dengan penyokong Terengganu Cycling Team pada peringkat akhir Le Tour de Langkawi 2018 dari Rembau ke Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. -Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
Haika Khazi
mfaizul@nstp.com.my

PELUMBA Terengganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba pasukan tempatan pertama muncul juara keseluruhan dan pemenang jersi kuning perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang berakhir di Dataran Merdeka, hari ini.

Walaupun sekadar menduduki tempat ke-37 dalam peringkat terakhir dari Rembau ke Dataran Merdeka sejauh 141.1 kilometer (KM) hari ini, Ovechkin yang merampas kedudukan selaku pendahulu pada peringkat 5 dari Bentong ke Cameron Highlands mengekalkan status itu apabila mencatat masa keseluruhan 32 jam 06 minit 45 saat.

“Saya gembira kerana akhirnya berjaya mengekalkan jersi kuning ini selepas terpaksa mengharungi perlumbaan yang amat mencabar dan paling jauh dari Nilai ke Muar (semalam) sebelum meneruskan kayuhan peringkat terakhir hari ini.

“Kemenangan ini sudah tentu penting dan bermakna buat TSG, apatah lagi sudah tujuh tahun bersaing dalam perlumbaan berprestij ini,” katanya yang menghadiahkan kemenangan itu kepada penyokong TSG dan seluruh rakyat Terengganu.

Naib juara pula menjadi milik pelumba CCC Sprandi Polkowice, Lukasz Owsian dengan catatan masa 32:07.12s dan diikuti Benjamin Dyball dari St George Continental Cycling Team (ketiga) ketinggalan 0.32s.

Bagaimanapun, perlumbaan peringkat terakhir itu dikuasai tiga pelumba dari Itali iaitu Andrea Guardini yang turut memenangi jersi hijau atau Raja Pecut dari pasukan Bardiani CSF dengan catatan masa 3:10.25s; diikuti Manuel Belletti dari pasukan Androni Giocattoli-Sidermec dan pelumba Willier Triestina-Selle Italia, Luca Pacioni dengan catatan masa sama.

Pelumba Farco Amskin Racing, Alvaro Raul Duarte Sandoval pula dinobat Raja Bukit (jersi polka dot) selepas mengumpul 61 mata; pelumba Astana Pro Team, Yevgeniy Gidich pelumba terbaik Asia (jersi putih) manakala pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Zawawi Azman (pelumba terbaik Malaysia).

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL 2018, M Kumaresan, sekali lagi memberi jaminan semua hadiah wang kemenangan kepada pemenang akan dimasukkan ke dalam akaun individu dan pasukan secepat mungkin.

“Saya boleh berikan jaminan 100 peratus kita boleh bayar kepada semua vendor dan tidak akan hutang kepada sesiapapun.

“Jika mereka ada masalah dan bayaran tidak dijelaskan seperti dijanjikan, saya harap mereka datang jumpa saya terus. Kalau boleh kita jelaskan secepat mungkin bukan tiga bulan seperti yang ditetapkan kerana kita mempunyai peruntukan mencukupi,” katanya.

INFO:

Keputusan Akhir LTdL 2018

Pemenang Jersi Kuning – Artem Ovechkin (Terengganu Cycling Team)

Raja Pecut (Jersi Hijau) – Andrea Guardini (Bardiani CSF)

Raja Bukit (Jersi Merah Polka Dot) – Alvaro Raul Duarte Sandoval (Farco Amskin Racing)

Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) – Yevgeniy Gidich (Astana Pro Team)

Pelumba Terbaik Malaysia – Zawawi Azman (Team Sapura Cycling)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 8:01 PM