PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton mencatat masa sepusingan terpantas pada sesi latihan bebas pertama di GP Australia. - Foto EPA

MELBOURNE: Lewis Hamilton mengetuai Mercedes meraih keputusan 1-2 dalam catatan masa bagi sesi latihan bebas pertama perlumbaan pembuka tirai musim Grand Prix Australia sebentar tadi, manakala harapan McLaren untuk bermula baik digugat dengan isu reliabiliti.

Juara Hamilton mencatat masa sepusingan terpantas satu minit 24.026 saat pada hari yang cerah di litar Albert Park, meninggalkan jurang lebih setengah saat di depan rakan sepasukan Valtteri Bottas.

Pemandu harapan Belanda, Max Verstappen di tangga ketiga carta buat Red Bull di depan pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen.

Juara empat kali Sebastian Vettel di tangga kelima bersama Ferrari dengan pemandu harapan tuan rumah Daniel Ricciardo di tangga keenam buat Red Bull.

Sesudah melengkapkan pusingan awal, juara dunia dua kali dari McLaren, Fernando Alonso dan Stoffel Vandoorne terpaksa menunggu di garaj bagi hampir keseluruhan sesi dengan jurutera bimbang mengenai masalah sistem ekzos.

McLaren, kini diperkuatkan dengan enjin Renault selepas meleraikan ikatan dengan Honda tahun lalu, bagaimanapun diselamatkan oleh Alonso yang akhirnya muncul ketika sesi berbaki 22 minit untuk mencatat masa kelapan terbaik.

Vandoorne di tangga ke-10 di belakang pemandu Renault, Carlos Sainz. Haas menikmati sesi positif dengan Romain Grosjean di tangga ketujuh. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 11:28 AM