DUSTIN Johnson gagal mara ke pusingan kalah mati Kejuaraan Match-Play WGC. - Foto AFP

AUSTIN, Amerika Syarikat: Juara bertahan Dustin Johnson tidak berpeluang mara ke pusingan kalah mati Kejuaraan Match-Play WGC selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut di Austin, Texas.

Selepas tewas perlawanan pembukaan kepada Bernd Wiesberger dari Austria, Johnson yang hadir sebagai pilihan utama tewas 3 & 4 kepada pilihan ke-38 dari Kanada, Adam Hadwin.

Pemain nombor satu dunia dari Amerika Syarikat itu akan bertemu rakan senegara Kevin Kisner pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini.

Johnson langsung tidak berpeluang untuk mendahului Hadwin, yang mengakui terkejut dengan prestasi merosot lawannya itu.

“Saya bermain dengan baik sepanjang hari,” kata Hadwin.

“Saya melakukan putt dari jarak lima hingga tujuh kaki ketika memerlukan par untuk mengekalkan momentum saya.

“Saya menjangkakan Dustin bermain lebih baik. Saya rasa orang lain pun mengharapkan perkara sama minggu ini. Dia terlepas beberapa pukulan putt dan inilah keputusannya.”

Hadwin 1-0-1 (menang-kalah-seri) dengan satu setengah mata daripada dua perlawanan pertamanya, akan berdepan Wiesberger (1-1-0) hari ini.

Johnson (0-2-0) hanya sekadar melengkapkan saingannya tetapi Kisner (1-0-1) masih berpeluang mendahului kumpulan dan menyertai kelompok 16 pemain ke pusingan kalah mati.

Rory McIlroy yang turut tewas pada perlawanan pembukaan, bangkit mengatasi Jhonattan Vegas dari Venezuela 2 & 1.

Pemain Ireland Utara itu (1-1-0) masih berpeluang mendahului kumpulan sekiranya dapat menewaskan Brian Harman (1-0-1) dari AS hari ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 11:19 AM