SIMONA Halep bangkit untuk menewaskan Dodin pada Terbuka Miami, hari ini.- Foto EPA

MIAMI: Pemain nombor satu dunia Simona Halep menyingkirkan pemain Perancis, Oceane Dodin 3-6, 6-3, 7-5 untuk mara ke pusingan ketiga Terbuka Miami, hari ini.

Pemain dari pusingan kelayakan, Dodin mendahului 4-2 pada set ketiga dan kerap memerangkap pilihan utama kejohanan dari Romania itu dengan pukulan rendah, namun Halep bangkit untuk memenangi perlawanan pertamanya dalam kempen itu.

“Ia perlawanan yang gila,” kata Halep.

“Saya tidak tahu dari mana bola datang dan saya terpaksa memberi perhatian kepada setiap pukulannya. Tapi saya menang dan saya sangat gembira.”

Halep akan kekal berada di puncak ranking WTA walau apa pun keputusan di Miami, tetapi pertemuan dengan Dodin membayangkan laluannya pasti sukar.

“Tahun ini saya mengharungi banyak perlawanan sukar, jadi saya sudah biasa. Saya hanya mahu kekal fokus, tidak berputus asa dan di akhirnya memenangi perlawanan. Saya berjuang hingga ke akhir dan ia perkara paling penting hari ini,” katanya.

Halep, naib juara selepas tewas kepada Caroline Wozniacki pada Terbuka Australia Januari lalu dan masih memburu gelaran Grand Slam sulungnya, mengambil masa dua jam enam minit untuk mengatasi Dodin.

Halep akan bertemu pemain ranking ke-30 dari Poland, Agnieszka Radswanka, bekas pemain nombor dua dunia yang pernah muncul naib juara Wimbledon pada 2012. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 11:11 AM