INIESTA (kanan) belum buat keputusan mengenai masa depannya di Barcelona. -Foto AFP
Reuters

 

MADRID: Ketua pasukan Barcelona, Andres Iniesta masih tidak pasti sama ada dia akan meninggalkan Barcelona musim ini untuk berpindah ke China.

Pemain berusia 33 tahun itu memberitahu media bahawa dia mendapat tawaran dari kelab China dan berkata perlu menimbangkannya demi masa depannya sebelum akhir April.

“Terdapat banyak perkara berlegar di fikiran saya, lebih kuat daripada yang lain,” katanya kepada stesen radio Sepanyol, Cadena Ser dan komen itu dilaporkan media tempatan pada Khamis.

“Masih ada masa beberapa minggu untuk membuat keputusan sama ada meneruskannya ataupun tidak, dan ia adalah antara keputusan penting dalam karier saya.”

Iniesta menandatangani ‘kontrak seumur hidup’ bersama kelab Catalan itu pada Oktober, namun masa untuk dia beraksi penuh semakin terbatas gara-gara kombinasi kecederaan dan kehadiran Philippe Coutinho dari Liverpool.

“Saya berada pada zaman yang menyaksikan berlakunya perubahan dan peluang terbuka dan menarik perhatian kita dengan pelbagai cara. Ia bukan soal kasih sayang, bukan apa yang saya rasa perlu saya buat. Secara jujurnya saya rasakan kecederaan ini membenarkan saya berada dalam kesebelasan utama untuk Barca dalam dua musim akan datang,” kata Iniesta.

“Jika saya pergi ia disebabkan saya tidak dapat memberikan sepenuh komitmen sebagai pemain dan individu dalam kelab. Pilihan yang saya bakal buat akan menjadi keputusan yang sukar.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 12:23 AM