OOI TZE LIANG
Mohd Khairie Khalid
khairie@nstp.com.my

KEJURULATIHAN baharu yang mengambil alih skuad terjun negara bermula Disember lalu tidak mengganggu persiapan ke Sukan Komanwel Gold Coast di Queensland, Australia, bulan depan.

Bagi penerjun senior negara, Ooi Tze Liang, ketiadaan bekas jurulatih dari China, Yang Zhuliang yang dilihat pencetus kejayaan skuad terjun sebelum ini tidak akan ‘ditangisi’ dan sasarannya adalah fokus untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan.

Skuad terjun negara ketika ini dikendalikan pemangku ketua jurulatih terjun kebangsaan, Zhang Yukun dan jurulatih dari Australia, Christian Brooker.

“Kalau dulu kita ada pengalaman yang manis tetapi ia sudah berlaku sebagai sejarah, jadi ia boleh jadi cerita saja, tidak boleh bawa ke depan pada masa akan datang,” kata Tze Liang.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memberikan fokus terhadap program disediakan jurulatih dan yang akan datang diserahkan pada tuhan.

“Kita ucapkan terima kasih kepada jurulatih lama, ingat dia selama-lamanya dari mana dia datang dan kita tidak akan melupakannya,” kata penerjun berusia 25 tahun itu menganggap cabaran menantinya tetap sama dan dia perlu memastikan dirinya bersedia dari mental serta fizikal.

AHMAD AMSYAR AZMAN

Pada temasya sama di Glasgow, Scotland pada 2014, Tze Liang memenangi pingat emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal lelaki dan perak acara 10m platform lelaki.

Sementara itu, seorang lagi penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman berazam mahu menghadiahkan pingat buat Malaysia.

“Saya akan buat yang terbaik kerana semua berjalan lancar dan sistematik termasuklah latihan, mungkin akan ada kejutan.

“Secara peribadi sasaran saya adalah membawa pulang pingat ke Malaysia dan saya tidak kisah dalam acara apa sekali pun,” katanya yang menyertai dua acara iaitu 1m dan 3m papan anjal individu.

Sukan Komanwel di Australia dijadual berlangsung pada 4 hingga 15 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 8:09 PM