PELUMBA SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin sedia terima kritikan membina. - Foto Email
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my


PRESTASI pelumba SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin di pusingan pembuka tirai musim Moto2 di Grand Prix (GP) Qatar minggu lalu mengundang kritikan di kalangan peminat sukan permotoran dua roda negara.

Zulfahmi yang pertama kali berlumba di kelas pertengahan Kejuaraan Motosikal Dunia itu berada di kelompok lima terbawah dalam setiap sesi latihan bebas sebelum menempah petak ke-32 pada sesi kelayakan, yang juga terakhir di grid perlumbaan.

Malah catatan dilakukannya pada sesi berkenaan 2 minit 04.780 saat (s), menampakkan jurang besar 4.481s antara pemegang petak pertama Alex Marquez dari pasukan EG 0,0 Marc VDS sekali gus dikritik peminat tempatan.

“Bagi saya, saya perlukan kritikan,” kata Zulfahmi yang kali terakhir membuat kemunculan di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 pada tahun 2015. “Sekiranya saya jadi mereka, saya juga akan melakukan perkara sama.

“Peminat di luar akan melihat kepada keputusan, namun bagi saya pasukan, ini adalah proses normal yang perlu dihadapi oleh pelumba baharu yang memasuki Moto2.

“Malah daripada rekod sebelum ini, tahun pertama Zaqhwan (Zaidi) dan Azlan Shah (Kamaruzaman) juga dilihat agak bergelut dengan Moto2, malah Hafizh (Syahrin Abdullah) juga mengambil masa yang lama (menyesuaikan diri).

“Apapun, saya tak nak jadikan ia sebagai satu alasan dan saya akan buat yang lebih baik daripada mereka.”

Bagaimanapun Zulfahmi berjaya menamatkan perlumbaan 20 pusingan itu di tangga ke-28 dengan catatan 41'31.420s, dan berharap dapat pantas menyesuaikan diri dengan dunia baharunya itu.

“Sasaran yang pasukan berikan ialah meningkat dalam setiap sesi. Bagi saya di Qatar, (jurang) catatan masa itu terlalu besar empat saat tetapi dalam perlumbaan, saya berjaya mengurangkannya kepada 2.8 saat.

“Kalau boleh, saya nak dekatkan lagi jarak itu dari sesi latihan bebas pertama lagi supaya dalam perlumbaan nanti, saya dapat kekal dengan kelompok pelumba lain.

“Untuk mendapatkan mata, kalau dapat itu umpama kemenangan bagi saya. Saya dapat lihat, pelumba MotoGP yang turun ke Moto2 juga agak bergelut untuk dapatkan mata. Saya rasa, tak ada lagi kejuaraan yang kompetitif seperti Moto2 ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 7:34 PM