GANDINGAN penerjun negara, Pandelela Rinong (kiri) dan Cheong Jun Hoong mampu cerahkan peluang negara memperbaiki pencapaian empat tahun lalu. - Foto NSTP 
Aida Adillah Mat
aida_adilah@nstp.com.my


KEJAYAAN Cheong Jun Hoong meruntuhkan tembok besar China untuk bergelar juara dunia meletakkan status penerjun negara dalam kelas tersendiri menjelang Sukan Komanwel di Gold Coast sari 4 hingga 15 April ini.  

Namun, kehebatan penerjun dari England, Kanada dan Australia tidak boleh dipandang mudah.     

Jika dilihat pencapaian empat tahun lalu ketika temasya di Glasgow 2014, England menguasai carta pungutan pingat dengan meraih empat pingat emas diikuti Kanada (3) dan Australia (2) manakala Ooi Tze Liang menyumbangkan emas tunggal buat negara dalam acara 3 meter papan anjal.  

Bagaimanapun, kemantapan gandingan Jun Hoong dan Pandelela Rinong menghadiahkan perak dalam acara 10 meter platform seirama dalam Siri Piala Dunia di Beijing baru-baru ini mencerahkan peluang negara memperbaiki pencapaian empat tahun lalu.    

Namun, kecederaan Jun Hoong, Pandelela dan Leong Mun Yee sedikit meresahkan kem negara.   

Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen berkata, kecederaan tiga penerjun itu tidak begitu membimbangkan dan persediaan penerjun  ketika ini dalam keadaan terbaik sekali gus pihaknya yakin mereka mampu untuk mengekalkan prestasi empat tahun lalu.  

Katanya, secara realistik penerjun akan cuba mengekalkan empat pingat yang diraih empat tahun lalu iaitu satu emas, dua perak dan satu gangsa.  

Kelibat penerjun muda seperti Hanis Nazirul Jaya Surya dan Jellson Jabillin juga boleh diharapkan untuk melakukan kejutan biarpun prestasi Nur Dhabitah Sabri agak tidak menentu.   

"Saya harap kesemua penerjun negara dapat mempamerkan prestasi terbaik nanti. Dhabitah, biarpun dia tidak dapat beraksi dengan baik dalam dua Siri Piala Dunia baru-baru ini, situasi itu mungkin berubah di Komanwel nanti," katanya. 

Sementara itu, lima perenang diketuai Olimpian negara, Welson Sim Chan Jie, Tern Jian Han, Keith Lim dan perenang tunggal wanita, Caroline Chan akan menggalas cabaran negara di Gold Coast. 

Berdasarkan catatan masa, sasaran untuk meraih pingat adalah mustahil.  

Malah, jurulatih Paul Birmingham turut mengakui perkara itu kerana cabaran yang akan dihadapi perenang bukan mudah apabila mereka perlu berdepan dengan juara dunia dan Olimpik.

___________________________________________________________

INFO

- RENANG DAN TERJUN

Venue: Pusat Renang Optus Renang

Tarikh: 5 - 10 April (Renang)

Terjun: 11-14 April (Terjun)

Sasaran renang: Tiada sasaran

Pencapaian 2014: Tiada pingat

Atlet renang: Welson Sim, Chan Jie Keith, Lim Kit Sern, Tern Jian Han, Caroline Chan Zi Xin 

Sasaran terjun: 1 emas

Pencapaian 2014: 1 emas, 2 perak, 1 gangsa

Atlet terjun: Cheong Jun Hoong, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri, Jasmin Lai Pui Yee, Kimberly Bong, Ooi Tze Liang, Gabriel Gilbert Daim, Hanis Nazirul Jaya, Surya Jellson Jabillin, Muhammad Syafiq Puteh, Chew Yiwei, Ahmad Amsyar Azman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 4:57 PM