Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak
sukan@nstp.com.my

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) secara rasminya mengumumkan senarai nama peserta Program Pembangunan Bakat Permotoran yang membabitkan arena dua dan empat roda.

Seramai 14 nama mengisi program berkenaan termasuk pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan pemandu, Jazeman Jaafar yang dijadual menyertai Kejuaraan Siri Super Endurance Dunia dan perlumbaan Le Mans 24 Jam pada Julai.

Jazeman yang pernah muncul juara dalam Kejuaraan Formula Asia bersama pasukan Meritus Racing pada 2007 bakal mengemudi pasukan Jackie Chan DC Racing bersama barisan pemandu negara, Afiq Ikhwan Yazid, Weiron Tan dan Nabil Jeffri.

Seorang lagi pemandu yang berada dalam senarai program bagi arena empat roda ialah Mitchell Cheah, yang dijadual mewakili negara dalam saingan ‘touring’.

“Kita sudah menyaksikan yang impian untuk melihat pelumba ataupun pemandu di Kejuaraan Dunia bukan lagi hanya angan-angan, buktinya seperti Hafizh Syahrin yang kini beraksi bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 di kelas perdana MotoGP.

“Kita juga sudah menyaksikan pencapaian mengagumkan dari Jazeman, Afiq, Weiron dan Nabil apabila mereka meraih kemenangan dan penamat di podium dalam saingan Siri Le Mans Asia, awal tahun ini.

“Dari awal lagi, impian kami adalah untuk membuka jalan buat bakat tempatan untuk mencapai perlumbaan tertinggi, berada dalam saingan MotoGP ataupun Formula Satu (F1).

“Kami juga sentiasa percaya yang bakat yang ada ini mempunyai kualiti untuk mencapai tahap perlumbaan tertinggi itu namun mereka berdepan halangan bagi tujuan itu.

“Dan di sinilah kami hadir untuk membantu mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali selepas memperkenalkan barisan pelumba dan pemandu bagi program berkenaan, hari ini.


RAZLAN (enam dari kiri) bersama pelumba kereta dan motorsikal kendalian SIC pada Sesi Pengumuman Pelumba Kendalian Sukan Permotoran SIC hari ini. -BERNAMA

Sementara itu, selain Hafizh yang dalam arena dua roda, turut tersenarai ialah pelumba Moto2, Zulfahmi Khairuddin; Adam Norrodin (Moto3) dan lima pelumba dari program Impian ke MotoGP - Danial El Fahim, Muhammad Harith Haziq, Muhammad Izam Ikmal, Mohd Daniel Syahmi dan Muhammad Idil Fitri.

Muhammad Idil dan Muhammad Izam dijadual beraksi dalam Kejuaraan CEV di Sepanyol bermula di Estoril, Sepanyol pada 24 Mac ini manakala bakinya di Kejuaraan Cub Prix dan Kejuaraan Superbike Malaysia.

“Ia satu proses yang berterusan ” kata Razlan. “Ketika kita sedang berbangga dengan Hafizh Syahrin yang beraksi dalam kelas perdana, kita juga mahu melihat serta menyokong lebih ramai lagi pelumba dan pemandu ke tahap kejuaraan dunia. Kami akan terus berusaha termasuk juga mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 9:37 PM
Skip this ad x