RORY McIlroy kembali menghuni ranking 10 teratas selepas menjuarai kejohanan Jemputan Arnold Palmer. - Foto AFP

RORY McIlroy kembali menghuni ranking 10 teratas semalam selepas menamatkan kemarau kejuaraan selama 18 bulan dengan kemenangan bergaya di Bay Hill, manakala Tiger Woods semakin menghampiri kelompok 100 terbaik.

McIlroy, pemenang empat kejuaraan utama, melonjak enam anak tangga ke tangga ketujuh dalam ranking, selepas bermain enam lubang terakhir dengan lima bawah par untuk menjuarai kejohanan Jemputan Arnold Palmer.

Ia kemenangan pertama pemain Ireland Utara itu sejak Kejuaraan Jelajah PGA 2016.

Bekas pemain nombor satu dunia Woods menghampiri usaha kembali ke kelompok 100 teratas selepas melakar dua catatan penamat lima terbaik berturut-turut buat kali pertama dalam tempoh hampir lima tahun.

Pemenang 14 kejuaraan utama itu berada di luar ranking 1,000 terbaik tahun lalu, namun di sebalik gagal mencabar kejuaraan pada lewat permainan Ahad lalu, dia meningkat 44 anak tangga ke tangga ke-105.

Kembalinya McIlroy dan Woods kepada prestasi baik hadir menjelang permulaan Masters AS pada 5 April depan.

McIlroy akan membida untuk melengkapkan karier Grand Slam di Augusta, manakala Woods yang berusia 42 tahun berharap menang kejuaraan utama pertama sejak Terbuka AS 2008.

Pemain Amerika Syarikat, Dustin Johnson mengekalkan pendahuluan selesa di puncak ranking daripada rakan senegara Justin Thomas dengan bintang sedang meningkat dari Sepanyol, Jon Rahm di tangga ketiga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 9:17 AM