DEL Potro ketika membalas pukulan Roger Federer untukmenjulang gelaran Indian Wells, awal pagi tadi. - Foto EPA

BEKAS juara Terbuka Amerika Syarikat Juan Martin Del Potro mengejutkan Roger Federer 6-4, 6-7 (8/10), 7-6 (7/2) awal pagi tadi utuk menjulang gelaran Indian Wells pertama dan ATP kedua berturut-turut.

Pemain Argentina berusia 29 tahun itu memberikan Federer kekalahan pertamanya pada 2018 dan melebarkan catatan kemenangannya kepada 11 perlawanan termasuk ketika menjuarai gelaran awal bulan ini di Acapulco.

“Saya masih menggeletar,” kata Del Potro.

“Sukar dijelaskan dengan kata-kata. Ia bagaikan mimpi.”

Del Potro, yang dibebani kecederaan pergelangan tangan sepanjang kariernya, berjaya mengatasi tiga mata perlawanan sebelum meraih kemenangan pada aksi pematah seri, untuk menamatkan aksi selama dua jam 42 minit.

“Selepas semua masalah dan pembedahan yang dilalui, saya tidak percaya dapat menjuarai Masters 1000 dan menewaskan Roger. Ia menakjubkan,” kata Del Potro.

Del Potro mula bertanding di Indian Wells sejak 2013, apabila tewas kepada pemain Sepanyol Rafael Nadal.

Ia kemenangan ketujuh Del Potro ke atas Federer dalam 25 pertemuan mereka.

“Saya sentiasa bermain dengan baik ketika berdepan dengannya. Saya menang beberapa perlawanan akhir dan tewas beberapa perlawanan akhir. Pada akhirnya saya bernasib baik kerana menang. Kami bermain dengan baik,” kata Del Potro.

Del Potro, pemain nombor lapan dunia kembali ke ranking 10 teratas selepas jatuh ke tangga ke1,045 sebelum kembali beraksi susulan tiga pembedahan pergelangan tangan kiri pada 2016.

"Ia pastinya menyakitkan,” kata Federer.

“Persoalannya berapa lama? Memang mengecewakan apabila bercakap mengenai perlawanan sehebat ini dan kemudiannya kalah.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 11:51 AM