RAUL Albiol (kanan) menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika bertemu Genoa. - Foto REUTERS

PERTAHANAN Sepanyol, Raul Albiol menanduk masuk gol kemenangan ketika kemenangan 1-0 ke atas Genoa awal pagi tadi menghidupkan peluang Napoli menjuarai Serie A, merapatkan jurang berbanding pendahulu Juventus kepada dua mata.

Kemaraan Juventus bagi memastikan kejuaraan Itali ketujuh berturut-turut terencat seketika kelmarin selepas seri tanpa jaringan di kelab bermasalah SPAL.

Lantas Napoli menggunakan peluang itu untuk mencerahkan semula bidaan mereka bagi kejuaraan liga pertama sejak 1990, selepas kekalahan 2-4 kepada AS Roma dan seri tanpa jaringan di Inter Milan dalam dua perlawanan terakhir mereka membolehkan Juve menguasai.

Pasukan kendalian Maurizio Sarri ditekan hebat, dengan percubaan Lorenzo Insigne dan Dries Mertens kedua-duanya terkena palang sebelum Albiol memecah kebuntuan pada minit ke-72 di Stadio San Paolo.

“Ini perlawanan penting, kami bangkit daripada dua perlawanan tanpa kemenangan,” kata jurulatih Napoli, Sarri.

“Pada peringkat ini musim lalu, Juventus secara asasnya sudah memenangi kejuaraan, jadi ini bermakna kami mencetus masalah sebenar buat mereka.

“Ini kempen kedua terbaik dalam sejarah Napoli dari segi pungutan mata, jadi kami akan terus memberikan tekanan.”

Sarri menegaskan rehat bagi perlawanan antarabangsa hadir pada masa tepat buat kapten Napoli yang keletihan, Marek Hamsik, yang terhincut-hincut dengan kecederaan pada selepas 20 minit.

Di belakang dua pasukan teratas, perebutan ke kancah bola sepak Liga Juara-Juara musim depan, Roma mengekalkan tangga ketiga - 14 mata di belakang Napoli - dengan kemenangan 2-0 ke atas Crotone.

Inter melonjak ke tangga keempat - empat mata di belakang Roma - selepas membelasah Sampdoria 5-0 dengan kapten Mauro Icardi meledak empat gol sekali gus melepasi jumlah 100 gol dalam Serie A. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 11:35 AM