MOURINHO berang dengan prestasi pemainnya ketika menentang Brighton. -Foto AFP
AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho terus mengkritik pemainnya sekalipun Manchester United melangkah ke separuh akhir Piala FA dengan melabel mereka ‘kurang personaliti, kelas dan keinginan.’

Selepas kurang 24 jam pengurus United itu mempertahankan dirinya ketika sidang media sebelum perlawanan, Mourinho mengalih tumpuan terhadap pemainnya susulan kemenangan 2-0 ke atas Brighton.

Hanya Nemanja Matic, yang mencipta peluang untuk jaringan pembukaan Romelu Lukaku sebelum turut menyumbat gol dan pemain muda, Scott McTominay terlepas daripada kritikan.

Mengharapkan pemainnya dapat memberi tindak balas dengan segera selepas penyingkiran dalam saingan Liga Juara-Juara kepada Sevilla, pengurus dari Portugal itu mendakwa beberapa pemainnya kurang personaliti dan keinginan untuk bermain bersama kelab gergasi Inggeris itu.

“Saya tidak menggemari permainan ini,” kata Mourinho. “Saya fikir kami layak untuk menang tetapi saya tidak mendapat reaksi yang saya harapkan daripada pemain.

“Saya mendapat reaksi daripada sesetengah mereka. Sesetengahnya kuat secara mental dengan kualiti bola sepak untuk bermain, dan itu adalah alasan mengapa kami menang.

MATIC (kanan) dan McTominay terlepas daripada kritikan Mourinho. -Foto Reuters

“Tetapi dalam pasukan yang mempunyai 11 pemain, secara minimum kamu perlu mempunyai enam ke tujuh pemain untuk beraksi dengan baik dan mahu bermain, yang bertanggungjawab untuk mendapatkan bola, dan memiliki keinginan untuk bermain.

“Tanpanya sukar untuk mendapatkan persembahan yang bagus. Jadi, saya tidak begitu gembira dengan persembahan secara keseluruhan. Tetapi saya gembira dengan keputusan.”

Luke Shaw antara pemain yang dipetik Mourinho apabila pertahanan England itu gagal menepati pelan taktikalnya dan dikeluarkan pada babak pertama.

Mourinho sebelum perlawanan memberi bayangan beberapa bintangnya beraksi di bawah tahap sebenar dan ironinya, Paul Pogba dan Alexis Sanchez tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama sekalipun Piala FA menjadi satu-satunya sasaran realistik untuk dijulang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 12:31 PM