ZULFAHMI Khairuddin. FOTO NSTP
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin merumuskan hari pertama Grand Prix Qatar kelmarin sukar namun yakin keputusan positif akan hadir dengan usaha gigih.

Pelumba SIC Racing yang mengisi slot dikosongkan Hafizh Syahrin Abdullah untuk ke kelas MotoGP itu berada di kedudukan ke-31, selepas sesi latihan bebas kedua dengan catatan terbaik 2 minit 04.357 saat di sesi kedua.

“Hari ini (semalam), saya rasa sukar pada sesi latihan bebas pertama. Kami tidak dapat melakukan banyak perkara tapi pada sesi latihan bebas kedua, saya dapat melakukan banyak pusingan dan hanya melakukan satu hentian.

“Saya sudah melakukan yang terbaik dan sekiranya dapat melakukan pusingan lebih banyak lagi, saya yakin mampu meningkat lagi.

“Saya dan pasukan harus bersabar apatah lagi ramai pelumba yang berpengalaman dan bagi saya keputusan akan hadir sekiranya berusaha gigih,” katanya yang menyertai kelas SuperSport dalam Kejuaraan Superbike Dunia pada 2016 dan 2017.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara di kelas pertengahan, Khairul Idham Pawi dari Idemitsu Honda Team Asia mempamerkan tunggangan lebih memberangsangkan pada sesi kedua apabila mencatat masa terbaik, 2:01.906s, sekali gus meletakkan dirinya berada pada kedudukan ke-18 dalam senarai gabungan kedua-dua sesi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 3:59 AM