Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my


HAFIZH Syahrin Abdullah mengejutkan banyak pihak pada penampilan pertamanya di kelas MotoGP di Grand Prix (GP) Qatar apabila mencatat masa terpantas dalam kalangan muka baharu ketika sesi latihan bebas pertama, semalam.

Catatan 1 minit 56.544 saat dilakukannya mengatasi empat lagi muka baharu dalam kelas perdana iaitu, Franco Morbidelli dan Thomas Luthi dari pasukan EG 0,0 Marc VDS, Takaaki Nakagami (LCR Honda Idemitsu) dan Xavier Simeon (Reale Avintia Racing).

“Insya Allah, saya akan melakukan yang terbaik dan terus memberi saingan kepada semua muka baharu dan kita lihat bagaimana (keputusannya) nanti,” kata Hafizh yang bagaimanapun tidak berjaya mencatat catatan masa lebih baik di sesi kedua, selepas itu.

Pelumba Monster Yamaha Tech itu melakukan 1'56.454s di sesi kedua di mana menyaksikan pelumba LCR Honda IDEMITSU, Nakagami mengungguli senarai muka baharu pada sesi berkenaan dengan catatan, 1'55.694s.

Andrea Dovizioso dari pasukan Ducati yang juga naib juara di Litar Losail musim lalu mendominasi kedua-dua sesi dengan catatan terpantas, 1'54.361s.

“Pada latihan bebas pertama, saya berasa yakin dengan jentera dan pada awalnya sedikit gementar,” kata Hafizh. “Apapun, ketika tunggangan terakhir, saya dapat berada di kelompok 15 terbaik dan pelumba muka baharu (yang mengungguli sesi berkenaan).

“Pada sesi latihan bebas kedua, saya tak tahu kenapa saya tidak dapat merasai cengkaman yang baik dengan motosikal. Insya Allah, pasukan akan membuat perubahan pada motosikal bagi mendapatkan cengkaman lebih baik di bahagian tayar belakang nanti,” katanya.

Hafizh, 23, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul selaku pelumba negara dan juga di rantau Asia Tenggara pertama yang menyertai kelas perdana di Kejuaraan Motosikal Dunia.

Jadual GP Qatar (Ahad)

9 malam - Perlumbaan Moto3

10.20 malam - Perlumbaan Moto2

12 tengah malam - Perlumbaan MotoGP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 8:02 PM
AKSI Hafizh Syahrin di Grand Prix (GP) Qatar.