JOVETIC (dua dari kiri) melakukan percubaan ke gawang Lille. -Foto AFP
AFP

PARIS: Stevan Jovetic keluar daripada bangku simpanan untuk membantu Monaco menewaskan Lille 2-1, awal pagi tadi sekali gus mengukuhkan kedudukan kelab itu di kelompok tiga terbaik Ligue 1 Perancis.

Penyandang juara itu begitupun ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Paris Saint-Germain tetapi apa yang penting, mereka turut mempunyai kelebihan jurang besar 12 mata di depan kelab tangga keempat, Lyon.

Lyon dijadual bertemu Marseille, esok dalam perlawanan penting bagi pemburuan tempat ke kancah Liga Juara-Juara musim depan.

Lille ketika ini mengharungi musim yang buruk dengan 10 peminat kelab itu menghadapi perbicaraan susulan tindakan mereka memasuki padang di Stade Pierre-Mauroy pada perlawanan, Khamis lalu sebagai protes terhadap prestasi longlai pasukan.

Tetapi, pelawat bermula dengan baik apabila terlebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi pemain Afrika Selatan, Lebo Mothiba.

Monaco begitupun tidak cepat melatah apabila menyamakan kedudukan sebelum babak pertama berakhir yang dibantu kesilapan penjaga gol Lille, Mike Maignan.

Berpunca daripada cubaan Keita Balde, Maignan gagal menampan bola itu dengan kemas untuk Rony Lopes mudah menolak masuk gol ke-10 miliknya musim ini.

Jurulatih Monaco, Leonardo Jardim kemudian memasukkan Jovetic dan penyerang antarabangsa Montenegro membuktikan kualitinya apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-61.

Kekalahan menyaksikan Lille kekal di tangga kedua tercorot liga di belakang Troyes dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 8:14 AM