Kian Meng (kiri) bersama Pei Jing.
Helmi Talkah
helmi.talkah@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui mengakui kemerosotan prestasi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mungkin disebabkan mereka masih keliru dengan corak permainan sendiri.

Selepas ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Terbuka Jerman, minggu lalu, Kian Meng-Pei Jing terus bergelut apabila turut menerima nasib sama pada saingan Seluruh England, kelmarin.

Beregu nombor sembilan dunia itu tewas kepada pasangan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 18-21, 11-21.

“Mereka bermain di bawah tahap prestasi sebenar dan terlalu banyak melakukan kesilapan mudah. Saya fikir mereka berdepan masalah daripada aspek kemahiran teknikal dan corak permainan. Mereka tidak jelas dan masih keliru,” kata Eei Hui ketika dihubungi di Birmingham, kelmarin.

Ditanya sama ada kedua-dua pemain itu mempunyai masalah komunikasi, Eei Hui menolak andaian berkenaan.

“Januari lalu, mereka bermain sangat baik dengan menghasilkan keputusan positif apabila mara ke suku akhir dalam dua atau tiga kejohanan. Jadi, saya tidak fikir mereka ada masalah komunikasi,” katanya.

Kemerosotan prestasi Kian Meng-Pei Jing menyaksikan mereka digugurkan daripada skuad negara ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, bulan depan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebaliknya menyenaraikan pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie yang dilihat lebih konsisten termasuk menjuarai Terbuka Jerman, Ahad lalu.

Bagaimanapun, Soon Huat-Shevon turut tersingkir di pusingan pertama Seluruh England selepas tewas kepada Chris Adcock-Gabrielle Adcock 14-21, 15-21.

Sementara itu, Pei Jing ketika dihubungi meminta dia diberi ruang untuk menenangkan diri selepas kecewa dengan kemerosotan prestasinya dan Kian Meng ketika ini.

“Saya mahu menenangkan fikiran dulu kerana memang kecewa dengan apa yang kami lalui sekarang. Saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu bercakap mengenai hal ini,” kata Pei Jing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 9:57 AM